Exco Melaka sendiri ketuai operasi tembak babi hutan

Norhizam dan Noorzakiahanum menunjukkan tiga ekor babi hutan yang berjaya ditembak.
Norhizam dan Noorzakiahanum menunjukkan tiga ekor babi hutan yang berjaya ditembak.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee mengetuai operasi menembak babi hutan selepas video kemunculan haiwan berkenaan yang dipercayai di kawasan Banda Hilir tular sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Operasi bersama Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) negeri, Noorzakiahanum Mohd Noh dijalankan pada Jumaat lalu itu berjaya menembak mati tiga esok babi hutan bersaiz dewasa.

Menurutnya, kira-kira 15 orang menyertai operasi berkenaan yang terdiri daripada anggota Perhilitan dan beberapa pemburu berlesan yang mempunyai kepakaran menembak binatang liar berkenaan.

"Operasi pemburuan yang bermula dari jam 11.30 malam di sekitar kawasan Bukit Senjuang dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhilitan negeri itu berjaya menembak tiga ekor babi hutan bersaiz dewasa yang dipercayai keluar dari kawasan semak samun di Bukit Senjuang.

"Pada malam berkenaan, pemantauan kemudian dilakukan di beberapa lokasi lain sehingga ke sekitar Kuala Linggi dan operasi berakhir pada jam 6.15 pagi," katanya ketika dihubungi, di sini.

Norhizam berkata, operasi yang dijalankan itu akan diadakan berteruskan bagi membasmi binatang liar berkenaan.

"Babi hutan mudah dikesan pada waktu hujan kerana haiwan ini akan menggali tanah bagi mencari makanan iaitu cacing. Namun dalam operasi ini, kita mengunakan umpan khas dan anggota yang menyertai operasi ini juga turut mempunyai kepakaran bagi mengesan babi hutan.

"Antara faktor kemunculan haiwan ini disebabkan kawasan hidupan mereka sudah dicerobohi dan terpaksa keluar mencari makan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Februari lalu Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri menerusi Perhilitan akan mengambil tindakan segera berhubung ancaman babi hutan di beberapa lokasi di bandar raya ini.

Ia ekoran tular rakaman visual memaparkan seekor babi hutan bersaiz dewasa kelihatan muncul di kawasan bandar yang dipercayai Banda Hilir.

Visual berdurasi 19 saat itu dipercayai sempat dirakam oleh pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.