Menangi RM150,550

Tengku Norhanim (tengah) bersama Farah (kiri) dan Rozaid sewaktu Finale Peraduan Sinar Di Hatiku di Auditorium Karangkraf, Shah Alam pada Isnin. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Tengku Norhanim (tengah) bersama Farah (kiri) dan Rozaid sewaktu Finale Peraduan Sinar Di Hatiku di Auditorium Karangkraf, Shah Alam pada Isnin. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

NIMS ADELICIOUSZ (Nims) dan Sinar Harian pada Isnin melancarkan peraduan PKPNimsxSinar yang memberi peluang kepada peserta untuk memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM150,550.

Pelancaran PKPNimsxSinar atau Peraduan Kumpul Produk Nims dan Sinar Harian itu diadakan bersama-sama dengan pelancaran produk edisi terhad terbaharu syarikat Nims iaitu Siri Pelangi Crispy Choco Tubs.

Pengasas Nims, Tengku Norhanim Tengku Othman berkata, tujuan utama penganjuran peraduan tersebut adalah bagi menarik lebih ramai penggemar coklat untuk mengenali dan menikmati produk keluaran syarikatnya.

Di samping itu, beliau berkata, peraduan itu turut diadakan bagi memberi peluang kepada penggemar coklat Nims untuk menjana pendapatan hasil daripada hadiah yang disediakan.

“Harapan saya ialah supaya hadiah yang diberikan dalam bentuk tunai itu dapat membantu mereka menambah dan meningkatkan pendapatan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19 seperti sekarang ini.

“Hadiah yang disediakan turut merangkumi pemberian barangan Nims yang akan membolehkan pemenang menjana pendapatan sampingan ataupun menjadi ejen produk kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Majlis pelancaran produk yang disempurnakan oleh Tengku Norhanim turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman.

Crispy Choco Tubs berwarna kuning menjadi produk pertama yang diperkenalkan daripada tujuh Siri Pelangi Crispy Choco Tubs Nims.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Farah berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menaikkan lagi jumlah hadiah yang diberikan dalam peraduan terbaharu yang dianjurkan bersama Nims itu.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil selepas mengambil kira sambutan yang diberikan oleh pembaca Sinar Harian dalam peraduan terdahulu di mana sambutan yang diterima adalah sangat menggalakkan.

“Untuk Peraduan Sinar Harian Di Hatiku itu, jumlah hadiah keseluruhan yang diberikan adalah RM60,000 tetapi pada peraduan bersama Nims ini kita naikkan kepada RM150,550,” katanya.

PKPNimsxSinar merupakan peraduan yang diadakan menerusi dua platform iaitu di akhbar Sinar Harian dan juga Sinar Harian Online bermula 1 Februari hingga 14 April 2021.

Pemenang tempat pertama bagi kategori hadiah utama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 berserta produk Nims bernilai RM1,000.