Kompaun RM1,000 sudah memadai

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kompaun RM1,000 kepada pesalah yang ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dianggap sudah memadai dan tidak perlu dinaikkan.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, nilai kompaun itu tidak wajar dinaikkan dalam keadaan masyarakat ketika ini sedang tertekan dari segi mental, fizikal dan ekonomi ekoran penularan pandemik itu yang semakin serius.

Menurutnya, sebaliknya pelaksanaan penguatkuasaan perlu dilakukan secara menyeluruh dan perlu ambil kira punca yang menyebabkan berlakunya ketidakpatuhan terhadap SOP.

“Kerajaan dan pihak berkuasa perlu melihat kenapa berlaku ketidakpatuhan itu. Saya ambil contoh sebelum ini ada kes jemaah surau dikompaun sebab minum di kawasan surau.

“Keadaan itu berlaku mungkin bukan sebab individu itu degil tapi mungkin ketidakfahaman terhadap SOP. Jadi yang perlu diperbaiki bukan dari segi hukuman, tetapi bagaimana meningkatkan kefahaman rakyat terhadap SOP,” katanya di sini pada Ahad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Sabtu dilaporkan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, dalam keadaan peningkatan kes ketika ini, perkara yang perlu diutamakan juga adalah keadaan mental dan fizikal masyarakat.

“Mungkin ketidakpatuhan itu berlaku sebab ekonomi yang semakin mencengkam, mental terbeban.

Artikel Berkaitan:

“Dengan meningkatnya kes-kes berkaitan tekanan mental sekarang, kita tidak boleh lihat dari perspektif hukuman semata-mata sebaliknya kena ambil kira dari sudut mental dan fizikal rakyat,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof pula berkata, kadar kompaun RM1,000 kepada orang awam yang melakukan kesalahan biasa seperti tidak memakai pelitup muka sudah berpadanan.

Bagaimanapun, katanya bagi kesalahan yang serius dan ia berbentuk mempengaruhi orang lain untuk melakukan pelanggaran sama, nilai kompaun wajar dinaikkan.

“Begitu juga kalau kesalahan itu melibatkan pihak industri atau syarikat yang mengawal jumlah pekerja yang ramai. Jika pelanggaran SOP boleh menyebabkan berlaku kes jangkitan yang besar, maka dalam situasi itu memang wajar kadar denda yang dikenakan perlu lebih tinggi.

“Jadi dalam hal ini, saya rasa kadar denda memang wajar dinaikkan supaya pihak berkuasa boleh mengenakan kompaun yang sesuai dengan bentuk kesalahan dan pihak yang melakukan kesalahan itu,” katanya.

Dr Muhammad Fathi menjelaskan, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang telah diwartakan membenarkan denda atau kompaun yang berkaitan kesalahan di bawah PKP dinaikkan sehingga RM5 juta tanpa ia dibawa ke Parlimen.

Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar pula berpendapat, cadangan menaikkan kompaun itu munasabah.

“Memandangkan kadar ketidakpatuhan terhadap SOP tidak memuaskan yang ditambah buruk dengan kadar jangkitan yang semakin meningkat maka sudah sewajarnya langkah yang lebih ketat perlu dilakukan termasuk menaikkan kadar kompaun.

“Dengan kompaun yang lebih tinggi, orang ramai akan lebih berwaspada dan memastikan rakyat tidak ambil mudah SOP terutama bila pergi ke tempat awam seperti pasar raya,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu mengambil kira cabaran yang terpaksa dihadapi negara ketika ini kerana virus Covid-19 sudah bermutasi hingga menyebabkan penyebarannya lebih cepat dan vaksin yang dihasilkan bukan untuk strain baharu.

“Namun, penguatkuasaan tetap perlu ada budi bicara dan perbincangan mengenai kenaikan kadar hukuman ini perlu melibatkan semua pihak.

“Mungkin kadar kompaun yang dikenakan boleh mengikut pertimbangan tertentu contohnya bagi kesalahan kali pertama kompaun berapa dan kali kedua berapa,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Undang-undang UIAM, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood turut bersetuju agar kompaun lebih tinggi dikenakan kerana ketika ini orang ramai dilihat sudah tidak mematuhi SOP sepenuhnya.

“Denda yang lebih tinggi bagi memastikan orang ramai takut dan patuh SOP, itu tujuannya.

“Kalau sekarang RM1,000 mungkin ada yang tak mampu tapi mereka akan usaha juga cari RM1,000. Tapi kalau denda itu ditingkatkan, mungkin orang akan lebih gerun dan mereka akan lebih berhati-hati,” katanya.