Masyarakat perlu lebih peka keadaan sekeliling: Che' Puan Khaleeda

Che' Puan Khaleeda menyeru masyarakat agar lebih proaktif dan bersikap ambil peduli dengan masalah yang berlaku di sekeliling susulan kematian seorang kanak-kanak yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.
Che' Puan Khaleeda menyeru masyarakat agar lebih proaktif dan bersikap ambil peduli dengan masalah yang berlaku di sekeliling susulan kematian seorang kanak-kanak yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Masyarakat perlu lebih sensitif dan peka dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Isteri kepada Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Khaleeda Bustamam berkata, sifat serta peranan tersebut merupakan tanggungjawab sosial dan juga moral setiap individu.

"Berita kematian seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya telah mengejutkan banyak pihak.

"Penderaan secara fizikal, pengabaian atau penderaan seksual bukan sahaja mengakibatkan kecederaan tetapi juga menjejaskan emosi dan psikologi kanak-kanak.

"Justeru, saya menyeru masyarakat agar lebih proaktif dan bersikap ambil peduli dengan masalah yang berlaku di sekeliling kita. Ambil peduli dan bertindak dengan segera sebelum terlambat," katanya dalam satu hantaran terbaharu menerusi Instagramnya.

Dalam kejadian pada jam 4 petang Jumaat, seorang kanak-kanak ditemui meninggal dunia di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam di anggota badan dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya.

Pada masa sama, Che' Puan Khaleeda berkata, pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini sememangnya memberi kesan terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

"Sekiranya anda berdepan ketidaktentuan emosi, memerlukan sokongan serta ingin membuat aduan berkaitan penderaan kanak-kanak, sila hubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp Talian Kasih 0192615999 (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)," katanya.

habis.
Artikel Berkaitan: