22,640 pemohon terima manfaat Mobile Ehsan JPN

JPN
JPN
A
A
A

LANGKAWI - Sejumlah 22,640 pemohon dokumen pengenalan diri melalui program Mobile Ehsan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima manfaat pelaksanaan program tersebut di seluruh negara tahun lepas.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, Program Mobile Ehsan menguruskan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad, sijil kelahiran terutama kepada golongan tidak bernasib baik seperti pesakit yang terlantar atau orang kurang upaya (OKU).

"Program ini turut dilaksanakan di kawasan pedalaman dan sukar untuk pemohon mendapatkan akses ke pejabat JPN dan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun lalu, JPN menerima 23,526 permohonan.

"Daripada jumlah tersebut 22,640 berjaya diselesaikan dan mereka sudah menerima kad pengenalan dan sijil kelahiran masing-masing,” katanya selepas menyerahkan kad pengenalan kepada dua pemohon di sini, hari ini.

Dua pemohon tersebut ialah seorang remaja perempuan Nur Aishah Mahazir dari Kampung Bukit Kemboja yang menghidap penyakit lebihan cecair dalam otak atau hydrocephalus sejak lahir dan seorang warga emas Chin Md Amin dari Kampung Ulu Melaka yang mengalami masalah strok saraf.

Menurutnya, menerusi pelaksanaan program tersebut pemohon tidak perlu pergi ke pejabat JPN sebaliknya pegawai jabatan tersebut akan ditugaskan ke rumah atau lokasi untuk menguruskannya.

“Permohonan boleh dilakukan oleh waris, penjaga, pemimpin masyarakat seperti ADUN atau Ahli Parlimen kawasan tersebut.

"Sebaik terima permohonan pegawai akan turun ke lokasi untuk menguruskannya. Setakat ini tiada ‘backlogged’ dalam permohonan, kerana JPN mahu pastikan setiap warganegara mendapat perkhidmatan sewajarnya," katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan: