Pertikaian tanah di Kampung Saujana dibawa ke mahkamah

Hassan (tengah) memberi penjelasan kepada penduduk berkenaan langkah perlu diambil terhadap pemaju di Taman Saujana, Plentong, Pasir Gudang pada Ahad.
Hassan (tengah) memberi penjelasan kepada penduduk berkenaan langkah perlu diambil terhadap pemaju di Taman Saujana, Plentong, Pasir Gudang pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Sekumpulan penduduk akan membawa masalah pertikaian hak milik tanah di Taman Saujana, Plentong di sini ke mahkamah sekiranya pemaju masih cuba menghalau atau merobohkan kediaman mereka.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Taman Saujana, Anggerik Abidin, 48, berkata, ini kerana mereka mempunyai geran tanah dan bagi yang masih tidak memilikinya, mereka mempunyai bukti pembelian tanah daripada pemilik asal.

"Pemilik asal tanah ini adalah syarikat Pembangunan Tanah dan Perumahan Sendirian Bhd. Pada 1967 atau 1968, tanah rizab Melayu ini mula dibahagikan kepada 800 lot sebelum dijual kepada generasi pertama kampung ini.

"Malangnya sekitar 2008 muncul pihak ketiga iaitu pihak pemaju mendakwa ada tanah di kampung ini milik mereka. Memang ada penduduk yang sudah menjual tanah mereka tetapi ada yang tidak menjual tanah namun disuruh oleh pemaju mengosongkan rumah.

"Ketika ini kira-kira 200 penduduk sudah memiliki geran tanah manakala 600 lagi tidak memilikinya walaupun mempunyai dokumen yang cukup. Ada pula mereka yang sudah mempunyai geran tetapi bila merujuk pejabat tanah, pemilik sebenar adalah pemaju," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim bertemu penduduk kampung itu selepas pihak pemaju yang mendakwa memiliki geran tanah kawasan tersebut merancang merobohkan rumah mereka dengan jentolak pada Ahad.

Anggerik mendakwa, setakat ini lebih 10 buah rumah sudah dirobohkan sejak 2015 dengan yang terbaharu lima lagi rumah pada tahun lalu termasuk dilakukan dengan pelbagai cara kotor dan paksaan.

Sementara itu, Asmah Abu Maksum, 57, berkata, pemaju merancang merobohkan rumahnya pada pagi Ahad susulan notis dihantar pemaju pada 11 November lalu tetapi menangguhkannya kerana menyedari kehadiran Hassan.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada lima anak dan merupakan guru ngaji di kampung itu berkata, keluarganya sudah menduduki rumah tersebut sejak lebih 30 tahun lalu semasa arwah suaminya masih hidup yang membeli tanah tersebut.

Gambar dari kiri: Asmah, Mohd Arshad
Gambar dari kiri: Asmah, Mohd Arshad

"Saya akan ambil tindakan mahkamah, perkara ini saya serahkan kepada Yang Berhormat Hassan Karim kerana beliau mewakili penduduk di sini dalam kes ini menerusi syarikat guamannya, Hassan Karim & Co," katanya.

Mohd Arshad Ahmad, 30-an, berkata, beliau bergegas ke kampung tersebut selepas mendapati pihak pemaju akan merobohkan rumah arwah bapanya pada pagi Ahad yang kini dijadikan rumah sewa.

"Sebelum ini pemaju datang memberitahu penyewa supaya tidak lagi membayar sewa kepada keluarga saya. Pemaju kata ada geran tetapi kami juga mempunyai geran dan dokumen, perkara ini saya sudah serahkan kepada peguam," katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Farid, 30, berkata, rumah jirannya diambil pemaju secara paksa selepas tuan rumah sakit dan mengalami strok pada tahun lalu.

"Ketika ini pemilik rumah itu iaitu wanita warga emas sudah hilang pemilikan tanah di kampung itu.

"Sekarang pemaju mengambil bayaran sewa rumah itu daripada seorang penyewa yang sebelum ini membayar sewa dengan wanita itu. Perkara ini akan dibawa ke mahkamah," katanya.