X

Kindly register in order to view this article
!

Liverpool buktikan kewibawaan sebenar

Pemain Liverpool meraikan kemenangan menewaskan Tottenham Hotspur 3-1.
A
A

PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Tottenham Hotspur pada awal pagi Jumaat telah membuktikan kewibawaan sebenar skuad kendaliannya itu.

Menurut Klopp setelah tewas kepada Burnley dan Manchester United dan tersingkir daripada saingan Piala FA minggu lalu, The Reds dilihat sudah kembali ke landasan sebenar selaku pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Katanya, biarpun masih dibelenggu dengan masalah kecederaan ramai pemain terutamanya di benteng pertahanan pasukan, kemenangan berkenaan diharap mampu mengembalikan semula rentak kemenangan pasukan.

“Kemenangan kali ini bukanlah hanya semata-mata kerana prestasi pasukan, tetapi secara keseluruhannya adalah untuk membuktikan siapa kami yang sebenarnya, terutamanya pada separuh masa kedua.

“Kami menjaringkan gol pada detik yang tepat. Gol-gol yang istimewa apabila ia dijaringkan oleh pemain yang sepatutnya.

“Saya juga telah menyaksikan banyak perkara yang ingin saya lihat iaitu kami telah bertahan selain menyerang balas dengan baik pada perlawanan ini,” katanya.

Liverpool membuka jaringan menerusi Roberto Firmino pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum Trent Alexandar-Arnold menjaringkan gol kedua pada minit ke-47.

Pemain Spurs, Pierre-Emile Hojbjerg merapatkan jurang gol pada minit ke-49 namun penyerang The Reds Sadio Mane menjaringkan gol ketiga pada minit ke-65 bagi memastikan kemenangan pelawat.

Kemenangan berkenaan bagaimanapun menyaksikan Liverpool masih berada pada kedudukan keempat EPL dengan 37 mata hasil 10 kemenangan, tujuh seri dan tewas tiga kali daripada 20 perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan Klopp berkata, kesebelasan pemain telah berjaya memberikan saingan dengan mengadaptasi formasi serta corak permainan Spurs.

Katanya, selain berjaya mengatur serangan balas dengan berkesan, kesebelasan The Reds juga dilihat berjaya ‘menguasai’ bola dengan baik.

“Pemain kami juga seringkali berjaya meloloskan diri dalam kawasan mereka dan ini pertahanan kita juga telah memainkan peranan dengan cukup baik,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!