Jentera TRW kena atasi segera kelemahan situasi bola mati

No Image Caption
A
A
A

PEMAIN Kelantan perlu segera mengatasi kelemahan ketika berdepan situasi bola mati dalam perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) seterusnya.

Ketua Jurulatihnya Marko Kraljevic berkata, kelemahan itu menyebabkan Kelantan gagal mengutip tiga mata penuh dalam pertemuan menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV..

“Kelemahan itu jelas kelihatan apabila ketiga-tiga gol pasukan pelawat dijaringkan menerusi sepakan percuma, sepakan penjuru dan lontaran bola ke dalam menyebabkan pasukan kami hampir ditewaskan.

"Saya dan pemain perlu mengatasi kelemahan ini supaya ia tidak menjadi sasaran pasukan lawan dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, Kelantan sekadar memperoleh satu mata selepas seri 3-3 dengan Sabah.

Tiga gol tuan rumah dihasilkan oleh pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior seawal minit keenam perlawanan menerusi sepakan penalti, Nik Akif Syahiran Nik Mat (minit ke-51) dan Muhammad Danial Haqim Draman pada minit ke-88.

Tiga gol Sabah dijaringkan pemain import dari Serbia, Luka Milunovic pada minit ke-12 dan dua gol Maxsius Musa pada minit ke-78 dan minit ke-86.

Dalam pada itu, Kraljevic , jurulatih kelahiran Jerman yang fasih berbahasa Malaysia berkata, kombinasi antara pemain juga perlu dipertingkatkan walaupun ramai pihak berpuas hati dengan keputusan pada malam tadi.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat malam ini ada sedikit peningkatan daripada segi kombinasi terutama pemain import walaupun tidak mempunyai kecergasan yang baik.

"Pemain diharapkan cepat mengatasi kelemahan-kelemahan ini bagi mengelakkan pasukan terus kehilangan mata," katanya. - Bernama