X

Kindly register in order to view this article
!

Guru boleh tetapkan kaedah PdPR bersesuaian di luar talian

Pelajar Tingkatan Satu, Muhammad Nur Izzat Ismail, 13 (kanan), menggunakan tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew untuk kegunaan pembelajaran dalam talian sambil diperhatikan ibunya Haslinah Abu Hassan, 40 (dua dari kanan) dan juga adik-adiknya yang lain di rumahnya di Flat DBKL Hang Tuah baru-baru ini. - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak terhad kepada kaedah dalam talian sebaliknya guru boleh menetapkan pelbagai kaedah PdPR luar talian yang bersesuaian dengan murid masing-masing.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Radzi Jidin berkata, seperti yang dijelaskan dalam Manual PdPR Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), antara kaedah luar talian yang digunakan ialah penyerahan modul pembelajaran atau latihan kepada murid.

"Murid akan melaksanakan PdPR dengan menyiapkan modul yang diberikan dan menghantar semula kepada guru untuk diperiksa, kemudian guru akan menyerahkan modul yang berikutnya.

"Modul diserahkan kepada murid melalui pelbagai pendekatan, ada sekolah yang menggunakan kaedah pandu lalu untuk penyerahan modul malah ramai juga guru yang menghantar sendiri modul ke rumah murid," kata beliau dalam hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa guru Sekolah Menengan Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya di Kota Kinabalu, Sabah menaiki bot untuk menghantar bahan pembelajaran kepada murid mereka.

Radzi berkata, KPM memahami bahawa murid di seluruh negara merangkumi pelbagai latar belakang sosioekonomi dan setiap guru turut berdepan situasi dan cabaran yang berbeza.

"Oleh itu, sejak kali pertama PdPR dilaksanakan, KPM sentiasa menekankan bahawa kaedah PdPR yang ingin digunakan mestilah mengambil kira kesesuaian guru dan murid.

"Sama ada secara dalam talian mahu pun di luar talian, kesungguhan guru untuk menyampaikan ilmu kepada anak didik tiada tolok bandingnya... terima kasih, cikgu!" katanya.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa atas sokongan yang diberikan kepada guru sepanjang tempoh yang mencabar itu.

Radzi berkata, pandemik Covid-19 yang muncul tanpa diduga telah memberi kesan mendalam kepada sektor pendidikan di seluruh dunia namun walau apa pun cabaran, KPM akan terus berusaha gigih untuk memberikan yang terbaik kepada generasi pewaris negara.

"Kami tidak sempurna tetapi kami cakna dan sentiasa ikhlas berusaha... marilah kita bersatu hati untuk lakukan yang terbaik demi masa depan anak-anak kita... ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!