'Sampaikan salam saya kepada Dr Zulkifli'

Mahadi Awang menyampaikan bantuan barangan keperluan makanan kepada Wan Mohamed Jaafar, 78, dan isteri, Fatimah Salleh,58, di Kampung Talang, Kadok, Ketereh pada Selasa.
Mahadi Awang menyampaikan bantuan barangan keperluan makanan kepada Wan Mohamed Jaafar, 78, dan isteri, Fatimah Salleh,58, di Kampung Talang, Kadok, Ketereh pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang tukang urut cacat penglihatan yang kisah hidupnya mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri baru-baru ini terharu menerima bantuan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada Selasa dan berkirim salam kepada menteri tersebut.

Wan Mohamed Jaafar, 78, terharu ketika menerima dua kotak bantuan mengandungi barangan keperluan makanan dan wang tunai berjumlah RM1,000 yang disampaikan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada Selasa.

“Sampaikan salam saya kepada Dr Zulkifli, semoga beliau dimurahkan rezeki,” katanya.

Warga emas tersebut turut mendoakan kesejahteraan semua pihak yang membantunya dan isteri, Fatimah Salleh, 58, untuk meringankan beban kesempitan hidup yang dialami mereka.

“Semua yang datang membawa bantuan hari ini (Selasa) saya ucapkan terima kasih. Murah rezeki saya maka murah lah juga rezeki semua, ” katanya.

Lelaki tersebut sebelum itu menerima kunjungan Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang di rumah mereka di Kampung Talang, Kadok, Ketereh di sini pada Selasa.

Sementara itu, Mahadi berkata, pihaknya memberi respon terhadap arahan Dr Zulkifli yang meminta supaya pasangan tersebut segera dibantu.

“Kami turun padang untuk melihat sendiri keadaan mereka dan menyampaikan bantuan yang diluluskan oleh Dr Zulkifli. Perkara lain yang diteliti hari ini termasuk keadaan dapur rumah yang sudah usang dan kayu yang sudah reput, sedangkan masih digunakan untuk pergi ke tandas. Laporan kes ini akan disiapkan untuk mendapatkan peruntukkan bagi cadangan menggantikan dapur yang baharu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang urut jalan kaki 20km demi sesuap nasi

Pada Isnin, Dr Zulkifli menerusi Facebook berkongsi artikel yang disiarkan Sinar Harian berhubung kisah kegigihan ibu bapa lima anak itu mencari rezeki sebagai tukang urut dengan berjalan kaki lebih 20 kilometer setiap hari bagi mencari pelanggan atau ke rumah pelanggan mereka.

Mahadi Awang (kanan) melihat keadaan dapur rumah yang akan dicadangkan untuk diganti dengan baharu.
Mahadi Awang (kanan) melihat keadaan dapur rumah yang akan dicadangkan untuk diganti dengan baharu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Wan Mohamed Jaafar 03010-41-00034954-2 atau hubunginya di talian 019-8232613.

Dalam perkembangan sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kadok, Mohd Azam Ismail berkata, keadaan pasangan itu dalam pemerhatian pihaknya dan bantuan disalurkan daripada peringkat pusat mahupun negeri.

“Bantuan am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diterima Wan Mohamed berjumlah RM150 sebulan bermula tahun 2000 dan dinaikkan kepada RM250 sebulan bermula 2020.

“Mereka juga memperoleh bantuan daripada Majlis Agama Islam Adat dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan serta bantuan bakul makanan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh pada minggu lalu selain mengusahakan rumah kepada mereka,” katanya.