Pasangan jarak jauh dibenar rentas negeri mulai esok

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mulai Rabu pasangan suami isteri jarak jauh yang berada di lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenar merentas negeri untuk pulang berjumpa pasangan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran itu namun pasangan terbabit perlu mendapat kebenaran polis terlebih dahulu.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan setuju untuk membenarkan pasangan suami isteri yang berjauhan disebabkan bekerja untuk merentas negeri bertemu keluarga masing-masing dengan syarat mendapat kebenaran dan kelulusan polis.

“Sama seperti yang lain-lain, kalau ada kes kecemasan memang kita benarkan tetapi perlu maklum kepada polis dan dapatkan kebenaran terlebih dahulu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di sini pada Selasa.