Malaysia perkukuh pensijilan halal

Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

PUTRAJAYA - Persijilan halal Malaysia diperkukuhkan lagi dengan pelancaran Prosedur Pengiktirafan Badan Persijilan Halal Luar Negara Malaysia 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia bertujuan memperkemaskan prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara.

"Prosedur itu akan dilaksanakan segera," katanya dalam ucapan perhimpunan bersama agensi di bawahnya pada Isnin.

Menurutnya, orang ramai berpeluang menyuarakan pendapat dan ulasan mengenai prosedur itu.

"Prosedur itu akan dimasukkan dalam portal www.halal.gov.my selama dua minggu bagi memberi peluang kepada pihak yang terlibat dan berkepentingan seperti badan pensijilan halal luar negara atau kedutaan asing untuk memberi ulasan dan pandangan," katanya.

Beliau berkata, pelancaran rasmi prosedur itu akan dilakukan selepas kesemua maklumat yang terima diteliti dan dikemukakan.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang turut dilakukan secara maya, beliau berkata, pihaknya sudah turun padang melawat beberapa kilang dan tempat penyimpanan daging di negara ini.

"Maklum balas yang kita terima sangat positif dan mereka menunjukkan komitmen bagi memastikan bekalan yang diperoleh daripada sumber halal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, dua mesyuarat telah diadakan pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tujuan itu.