Lantikan MPKK perlu ada perkongsian kuasa seimbang

Fuziah beramah mesra dengan masyarakat cina pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina diperkarangan pejabat Parlimen Kuantan, hari ini.
Fuziah beramah mesra dengan masyarakat cina pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina diperkarangan pejabat Parlimen Kuantan, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Satu mekanisma baharu perlu diwujudkan dalam pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi memastikan perkongsian kuasa antara kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang dengan Kerajaan Pusat lebih seimbang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Fuziah Salleh berkata, isu lantikan itu menimbulkan konflik apabila ia tidak melibatkan wakil daripada kedua-dua pihak iaitu wakil daripada kerajaan pusat dan negeri.

Menurutnya, pendekatan ‘menang-menang’ perlu dalam lantikan MPKK kerana mereka menerima peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar namun lantikannya dibuat oleh kerajaan negeri.

“Jadi keadaan ini sebenarnya tidak membantu dan tidak memberi kelebihan kepada PKR yang merupakan kerajaan di peringkat Persekutuan tetapi menjadi pembangkang di negeri ini, malah, lantikan MPKK itu tiada wakil dari PH.

"Kita akan bawa satu usul khas kepada kerajaan PH dan Majlis Presiden PKR untuk menyatakan bagaimana kita boleh mengendalikan MPKK ini untuk Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat perbincangan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai isu lantikan terbabit.

"Saya cadang agar ada wakil PH di setiap kawasan yang dimenang parti terbabit, begitu juga dengan BN.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikut cadangan asal pembahagian lantikan itu secara sama banyak (50/50) tetapi ia berlaku sebaliknya.

"Jadi sebab itu kita ada keperluan untuk mengkaji semula perkara ini,” katanya.

Selain itu, Fuziah memberitahu, falsafah pelantikan satu organisasi MPKK di semua negeri dengan perkongsian kuasa antara kerajaan ditadbir pembangkang atau di peringkay Pusat boleh berjaya dam negara, jika amalan

politik dan demokrasinya adalah matang.

Tegasnya, ia belum sesuai dilaksanakan di negara ini yang baru hendak belajar erti demokrasi sebenar.

"PH percaya kepada konsep demokrasi tetapi kita lihat ia disalah guna oleh ahli MPKK yang dilantik oleh negeri pembangkang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau akan membawa usul baharu iaitu Dasar Sosioekonomi Pembangunan Asnaf untuk dilaksanakan bagi membantu golongan asnaf keluar daripada kategori berkenaan.

Jelasnya, pihaknya akan meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mengeluarkan dua hingga empat peratus golongan asnaf daripada kategori tersebut dalam setahun.

"Pendekatan ini berbeza berbanding dahulu yang mana kali ini kita 'memberi pancing' kepada golongan asnaf dan meletakkan KPI sebagai kayu ukur," katanya.