Yadim sokong usaha pemerkasaan undang-undang tangani isu LGBT

Nasrudin
Nasrudin
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha kerajaan untuk meminda Undang-Undang Syariah dan menubuhkan Task Force bagi menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam negara ini sebagai satu usaha dakwah wajar disokong rakyat Malaysia.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata, usaha itu merupakan dakwah untuk membina masyarakat yang soleh dan bermoral.

“Penularan budaya yang menyongsang fitrah dan normalisasi aktiviti LGBT dalam negara kita mutakhir ini semakin membarah.

“Ia wajar ditangani dengan serius dan penuh hikmah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Nasrudin berkata, fenomena ini turut mencemar budaya, meruntuh institusi kekeluargaan dan merosakkan nilai keperibadian individu.

Menurutnya perlaksanaan undang-undang yang menepati syariat serta pembentukan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) bagi mendidik dan membimbing masyarakat supaya menjalani kehidupan patuh syariat serta mencegah aktiviti songsang ini di kalangan umat Islam.

“Pelaksanaan hidup mematuhi aturan agama tidak boleh hanya dengan seruan khatib di mimbar, alim ulamak di majlis ilmu dan para intelektual Islam di bilik kuliah universiti semata-mata.

“Sebaliknya perlu kepada penguatkuasaan undang-undang untuk membendung agenda pihak tertentu yang mahu meruntuhkan peradaban negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nasrudin juga memberitahu, Yadim bersedia menjadi satu agensi yang berperanan bagi membantu usaha dakwah ke arah menyelamatkan mereka yang terjebak dalam LGBT serta meluruskan pemikiran masyarakat agar tidak terpengaruh dengan agenda normalisasi aktiviti mungkar tersebut.

Jelasnya, dakwah tidak sekadar menyeru atau mengajak ke arah mentaati perintah ALLAH SWT serta mematuhi syariat Nabi Muhammad SAW secara lisan semata-mata kerana kemudiannya akan mengundang rahmat dan keampunan ALLAH SWT menepati piawaian Baldatun Tayyibah Wa Rabbun Ghafur.

Pada 19 Januari lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, berkata, kerajaan tidak menolak sebarang kemungkinan untuk meminda Akta 355 bagi menangani isu LGBT secara lebih berkesan.

Bagaimanapun katanya, enakmen berkenaan masih diguna pakai selain meningkatkan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama negeri.