X

Kindly register in order to view this article
!

Kayuh basikal 20 kilometer ke sekolah

Azih ketika menyertai aktiviti santai bersama rakan-rakan.
A
A

“GENERASI sekarang tidak melalui kesusahan seperti yang dialami orang terdahulu. Jadi semangat dan kesungguhan (ketika melakukan apa sahaja pekerjaan) mereka adalah berbeza,” kata bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Itulah ungkapan yang dikongsi anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Berbicara lebih lanjut mengenai kesusahan yang dilaluinya sejak kecil, Azih berkata, mengayuh basikal sejauh hampir 20 kilometer setiap hari untuk ke sekolah adalah perkara yang sentiasa dikenang olehnya.

Katanya, pengalaman itu antara perkara yang banyak mengajarnya untuk lebih cekal dalam mengharungi kehidupan.

“Pada masa itu, semua orang hidup susah. Tidak ada bekalan elektrik, keadaan jalan pun menyedihkan. Basikal merupakan pengangkutan tunggal yang ada bagi kebanyakan rakyat pada masa itu.

“Setiap hari ke sekolah saya hanya mengayuh basikal. Bukan dekat (tapi) jauh sangat dengan keadaan jalan raya pada masa itu (tidak sempurna). Tetapi kita tidak ada pilihan.

“Balik sekolah pula tolong mak ayah menoreh getah, turun ke bendang. Begitulah rutin setiap hari,” katanya.

Azih (lima dari kiri) ketika menyertai aktiviti Cuepacs pada awal perkhidmatan dalam kerajaan.
Azih (lima dari kiri) ketika menyertai aktiviti Cuepacs pada awal perkhidmatan dalam kerajaan.

Gaji RM295 sebulan

Menurutnya, kesusahan tidak terhenti di situ sahaja kerana pada malamnya beliau mengulang kaji dalam keadaan serba kekurangan.

“Segala kesusahan masa lampau itu kekal segar dalam kenangan saya sehingga kini.

“Bila dikenang kembali, ia merupakan pedoman yang sangat berguna supaya kita tidak sesekali lupa dari masa kita bermula,” katanya.

Azih bagaimanapun berkata, di sebalik kesusahan yang dialaminya itu, akhirnya meletakkan dirinya pada tahap sekarang.

“Orang-orang dahulu yang hidup susah ini, mereka akan lebih bersungguh-sungguh dalam apa sahaja pekerjaan yang dilakukan kerana mereka sedar susahnya untuk berada pada tahap sekarang,” ujarnya.

Mengimbau kembali ketika mula-mula bekerja dalam perkhidmatan awam, Azih berkata, beliau ditawarkan gaji sebanyak RM295 dengan jawatan sebagai kerani pada ketika itu.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini bergaya dengan motosikal Scrambler yang popular suatu masa dahulu.
Anak kelahiran Kuala Terengganu ini bergaya dengan motosikal Scrambler yang popular suatu masa dahulu.

Katanya, meskipun jumlahnya dianggap besar pada masa itu, namun gaji itu tetap kecil bagi memenuhi keperluan keluarganya.“Sebab inilah juga yang mendorong saya untuk bergiat aktif dalam kesatuan pekerja dengan harapan dapat memperjuangkan nasib golongan pekerja yang bergaji rendah.

“Alhamdulillah, sedikit demi sedikit perjuangan kita untuk pekerja bergaji rendah ini akhirnya tercapai apabila isu gaji minimum dapat dilaksanakan,” katanya.

Katanya, isu gaji minimum itu adalah antara fokus beliau sejak memegang jawatan Presiden Cuepacs dari tahun 2013 sehingga 2019.

Kata Azih, selama enam tahun memegang tanggungjawab sebagai pemimpin kesatuan sekerja itu, beliau bersyukur kerana sebahagian besar misinya telah tercapai.

“Saya berharap apa yang telah kita buat (bantu pekerja bergaji rendah) (sebelum ini) akan menjadi inspirasi kepada pejuang-pejuang kesatuan sekerja hari ini.

“Kenapa saya begitu tekankan untuk membantu pekerja bergaji rendah ini? Ini kerana kita hendak bantu mereka, supaya mereka yang tidak mempunyai rumah akan berkemampuan membeli rumah, dapat gaji yang lebih setimpal dan sebagainya.

“Ini kerana kita sedar bahawa kos kehidupan masa kini begitu tinggi, jadi bagaimana nasib golongan bergaji rendah untuk teruskan kehidupan kalau kesatuan tidak membantu,” katanya.

Azih
Azih

Sebelum mengakhiri perbualan, Azih turut menitipkan harapan supaya masyarakat berhenti melabelkan kesatuan sekerja seperti Cuepacs sebagai golongan yang suka meminta-minta.

Kata beliau, setiap permintaan yang dibuat itu tidak lain adalah bagi memastikan kakitangan kerajaan khususnya yang berpendapatan rendah terbela.“Apa yang kita suarakan sebelum ini adalah untuk memastikan kerajaan memahami nasib pekerja yang susah ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!