PUNB tawar penangguhan pembayaran dan diskaun

Noh
Noh
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB) mengumumkan penangguhan pembayaran prinsipal dan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus sewa premis perniagaan PUNB selama enam bulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021.

Menurut Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar, tindakan proaktif PUNB itu adalah untuk membantu usahawan kekal berdaya tahan dan berdaya saing ketika pandemik Covid-19 yang masih menular di Malaysia.

Katanya, penangguhan pembayaran pembiayaan tersebut hanya terpakai ke atas prinsipal manakala kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan.

“Semua Rakan Usahawan PUNB yang telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh April hingga Disember 2020 secara automatik layak menerima inisiatif ini.

“Pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal bagi Januari hingga Jun 2021 dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 rakan usahawan PUNB melibatkan kutipan sebanyak RM110 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Noh berkata, sebanyak 226 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara, layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari 2021melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.5 juta.

“Saya berharap inisiatif yang diperkenalkan ini dapat membantu meringankan beban ditanggung oleh rakan usahawan PUNB dan penyewa premis perniagaan PUNB kerana ramai daripada mereka masih dalam proses untuk pulih dan kembali berdaya saing,” katanya.

Tahun lepas, PUNB mengumumkan pemberian inisiatif penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan bermula 1 April sehingga 31 Disember 2020 melibatkan kutipan sebanyak RM155 juta.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, PUNB turut memberi pengecualian sewa bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020 untuk 220 premis perniagaan milik PUNB dengan anggaran kutipan sewa sebanyak RM5.3 juta.

Diikuti dengan pemberian diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020 melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM1.37 juta.

Sebarang pertanyaan mengenai penangguhan pembayaran pembiayaan, Rakan Usahawan boleh menghubungi Pegawai Pemantauan yang telah ditugaskan menyelia akaun anda melalui telefon atau emel masing-masing.

Untuk pertanyaan am, boleh hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian 1300 13 7862 atau talian am 03-2785 1515 atau emel ke customerservice@punb.com.my. Ikuti laman portal www.punb.com.my dan media sosial PUNB untuk sebarang maklumat terkini.