X

Kindly register in order to view this article
!

18 individu diberkas di premis 'mesin judi' 24 jam

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Pandan Jaya di sini diserbu pada Jumaat.
A
A

AMPANG - Seramai 18 individu ditahan di sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian, 24 jam sehari, di Pandan Jaya di sini diserbu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seramai 12 pemain judi terdiri daripada 10 warga tempatan dan dua warga asing sedang asyik membuat pertaruhan ditahan dalam serbuan pada jam 8 malam.

"Lima wanita dan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menjaga premis berkenaan turut ditahan dalam serbuan itu," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini pada Jumaat.

Mohamad Farouk berkata, berdasarkan maklumat risikan, premis itu beroperasi sejak dua minggu lalu dan menyasarkan pelanggan yang dikenali mereka.

"Semasa serbuan, ada sebahagian pemain melarikan diri ke tingkat atas premis berkenaan yang dipercayai turut dimiliki pemilik premis judi terbabit namun dapat dihidu oleh polis," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas tablet yang digunakan untuk kegiatan perjudian, router, modem dan wang tunai.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara dan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengarahkan supaya menggempur dan membanteras semua elemen perjudian.

"Namun masih ada lagi sindiket yang berani mewujudkan premis seperti ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya mengalu-alukan maklumat dari penduduk setempat yang mengetahui tentang sebarang cubaan untuk 'menghidupkan' kembali premis perjudian dalam daerahnya.

"Kita akan gempur habis-habisan serta mengambil langkah proaktif untuk mengesan kewujudan tempat seperti ini yang boleh merosakkan masyarakat di daerah Ampang Jaya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!