Warga emas positif Covid-19 ditemui mati dengan kesan kelar

Warga emas positif Covid 19 ditemui mati di sebuah rumah di Seri Kembangan pada Jumaat.
Warga emas positif Covid 19 ditemui mati di sebuah rumah di Seri Kembangan pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Seorang warga emas yang disahkan positif Covid19 ditemui mati dengan kesan kelar di tengkuk di sebuah rumah di Bandar Putra Permai Seri Kembangan di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia telah pergi ke lokasi kejadian pada jam 9 malam.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku. Kita mendapati kesan kelar pada tengkuk lelaki berusia 66 tahun itu.

"Kita turut menemui sebilah pisau masih berada di sebelahnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Razali berkata, siasatan mendapati mangsa telah membuat ujian swab di sebuah hospital swasta pada 7 Januari lalu dan didapati positif Covid-19 pada keesokan harinya.

"Swab kali kedua juga telah dibuat pada 18 Januari lalu dan keputusan pada 20 Januari mangsa masih positif," katanya.

Menurutnya, lelaki itu telah membayar kos yang tinggi di hospital swasta untuk rawatan Covid 19.

"Lelaki itu mengajak isterinya pergi ke bank untuk memindahkan wang sebanyak RM40,000 untuk tujuan rawatan Covid 19.

Artikel Berkaitan:

"Menurut isterinya, lelaki itu sering mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan murung apabila disahkan positif Covid-19," katanya.

Razali berkata, siasatan juga mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk rumah berkenaan.

"Selain itu, tiada sebarang barangan berharga hilang di dalam rumah, rumah juga dalam keadaan yang teratur.

"Jiran keluarga itu juga tidak mendengar sebarang bunyi pertengkaran ataupun orang menjerit," katanya.

Razali memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga menunggu laporan bedah siasat.