X

Kindly register in order to view this article
!

PdPR tidak bergantung pada gajet sepenuhnya

Habibah Abdul Rahim
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak hanya terbatas kepada pembelajaran dalam talian semata-mata.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim sebaliknya berkata, proses pembelajaran yang baru diperkenalkan tahun lalu itu juga turut dilakukan secara luar talian.

Katanya, PdPR itu turut melibatkan kaedah TV Pendidikan dan penggunaan bahan bercetak.

"Untuk makluman, PdPR adalah pengajaran dan pembelajaran di rumah. Ia melibatkan kaedah pembelajaran yang tidak terbatas kepada PdP dalam talian.

"PdPR turut melibatkan penggunaan kaedah offline, TV Pendidikan dan penggunaan bahan bercetak.

"Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan PdPR bermaksud pembelajaran dalam talian semata-mata," katanya pada sidang media secara dalam talian (online) berkaitan Pengoperasian Sekolah Tahun 2021 menerusi aplikasi Webex pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Habibah berkata, pihaknya juga telah membuat manual PdPR bagi memberi panduan kepada guru, ibu bapa dan murid.

Katanya, semua pihak khususnya ibu bapa tidak perlu bimbang sekiranya mereka tidak mempunyai capaian internet untuk melaksanakan proses pembelajaran tersebut.

"Mungkin ada yang risau, bimbang bahawa PdPR ini tidak boleh berlaku kalau tidak ada kemudahan atas talian atau capaian internet. Tetapi (sebaliknya) kita mempunyai cara-cara yang berlainan.

"Tetapi guru akan melihat dari segi kesediaan dan keperluan apakah bentuk atau cara untuk melakukan PdPR ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!