‘Mok tak mboh balik doh’

Kenangan keluarga Rozilawati sewaktu Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Kenangan keluarga Rozilawati sewaktu Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- “Mok gi ni, tak mboh (tak nak) balik doh,” itu antara kata-kata akhir yang diluahkan Rozilawati Mustafa@Razali, 43, sebelum bertolak ke Gua Musang, Kelantan bagi menghadiri kenduri ahli keluarganya.

Siapa sangka, kata-katanya itu menjadi kenyataan apabila dia terlibat dalam nahas di Pengkalan Atap, Batu Rakit pagi tadi yang mengorbankannya bersama dua anak iaitu Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21 dan Muhammad Nashrullah, 5, serta menantu, Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, dan cucunya, Nur Khaira Aisyah Mohd Kharulinzam, 9 bulan.

Suami Rozilawati, Salleh Tahir, 49, berkata, isterinya berkata demikian sewaktu menegur anaknya.

“Saya beritahu dia balik, tak baik cakap macam tu. Tapi tak sangka pula dia pergi buat selama-lamanya. Itu kali terakhir saya jumpa dia, sebab saya ada kerja nak pergi tebang pokok pagi tu. Dia pun tak ada pesan apa-apa pada saya.

“Saya tahu tentang kejadian tu jam 3.42 pagi tadi, anak balik dan beritahu kereta menantu saya terbabas dan kemalangan kereta. Masa tu, dia tidak beritahu lagi ada yang dah meninggal dunia.

“Tak lama selepas itu, adik ipar saya telefon dan beritahu dah 4 orang meninggal dunia. Isteri saya parah ketika itu dan cucu saya patah kaki. Saya tergamam tak tahu nak kata apa,” katanya.

Sementara itu, jenazah kelima-lima mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Durian Mas, Manir kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Artikel Berkaitan: