X

Kindly register in order to view this article
!

Tukar saluran TV kerajaan kepada TV pendidikan: Pemuda UMNO

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mengemukakan cadangan supaya saluran televisyen (TV) milik kerajaan ditukarkan kepada TV Pendidikan sepenuhnya.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bertujuan untuk memastikan akses atau jurang pendidikan tidak melebar dalam kalangan rakyat tatkala negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Menurutnya, antara cadangan yang dapat dirumuskan daripada maklum balas yang dikemukakan orang ramai termasuklah saluran percuma yang lebih meluas kepada rakyat boleh direalisasikan segera melalui hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Selain itu, kandungan saluran-saluran ini disusun mengikut jadual waktu subjek di sekolah berpandukan sukatan setiap darjah dan tingkatan.

“Pengajaran dapat dilakukan secara interaktif dan menggunakan kaedah pembelajaran dengan pelbagai visual dan pedagogi yang menarik.

“Saluran ini juga boleh berjalan sehingga jam 12 tengah malam dan kandungan subjek diulang siar bagi membolehkan ulangkaji dilakukan serta ibu bapa turut terlibat membantu anak-anak yang kurang faham setelah pulang dari kerja,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

Dalam pada itu beliau berkata, dengan adanya saluran tersebut guru-guru hanya perlu memantau dan menilai tahap kefahaman dengan penyediaan siri-siri latihan tambahan, kuiz dan kerja-kerja rumah yang disediakan oleh pihak sekolah.

“Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pihak stesyen TV swasta untuk menyelaraskan program serupa bagi mereka yang mempunyai akses kepada saluran TV berbayar seperti Astro,” katanya.

Asyraf Wajdi turut mengucapkan terima kasih kepada pihak KPM di mana beliau telah dihubungi oleh seorang pegawai tinggi yang memaklumkan bahawa pihak KPM memantau setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam hantaran Facebooknya sebelum ini.

Menurutnya, idea TV Pendidikan itu hanyalah sebahagian daripada solusi jangka pendek yang boleh dibuat waktu darurat ketika ini terutamanya dalam suasana pandemik yang belum berakhir.

“Moga dapat perhatian serius pihak KPM supaya tiada siapa yang tercicir daripada mendapat peluang pendidikan musim pandemik seperti ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!