X

Kindly register in order to view this article
!

PdPR: Kerajaan dicadang teliti program e-Book di Terengganu

Ahmad Zamri Sulong
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan dicadang meneliti program pemberian e-Book yang pernah dilaksanakan di Terengganu sebagai alternatif menyelesaikan masalah gajet bagi golongan B40 dalam pelaksaaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, Ahmad Zamri Sulong berkata, program tersebut dilihat dapat memberi kegembiraan kepada pelajar yang tidak mampu membeli telefon pintar untuk PdPR.

“Bukan semua murid ada telefon pintar atau komputer untuk belajar, jadi kerajaan boleh lihat dan nilai program pemberian e-Book secara percuma kepada rakyat Terengganu yang pernah dilaksanakan dulu. Ia boleh diubah daripada komputer riba kepada telefon pintar.

“Pemberian ini harus diberi tumpuan kepada murid sekolah rendah kumpulan B40 dengan kelayakan tertentu selain telefon pintar ditetapkan untuk program pendidikan dan PdPR sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Ahmad Zamri, beliau turut bersetuju dengan cadangan beberapa pihak supaya diwujudkan satu saluran pendidikan percuma yang boleh digunakan secara konsisten oleh semua pelajar sepanjang PdPR.

Beliau berkata, saluran pendidikan itu lebih relevan berikutan boleh dikatakan semua isi rumah negara ini mempunyai televisyen di rumah.

“Dalam situasi pandemik Covid-19, kita tidak boleh lari daripada meneruskan sistem pendidikan melalui PdPR. Tapi kita kena selesaikan beberapa isu berbangkit khususnya dari segi liputan jalur lebar, kemudahan gajet agar semua murid dapat belajar sama rata.

“Bagi mereka yang tinggal di bandar dan tergolong dalam kumpulan berkemampuan, PdPR mungkin tidak mendatangkan masalah tapi ia satu isu besar buat rakyat B40 apatah lagi di kawasan pedalaman.

“Contohnya di sekolah saya, majoriti murid adalah B40 jadi saya lihat bila guru bagi tugasan dalam WhatsApp, ada ibu bapa yang tidak beri respons kerana mereka guna telefon bimbit biasa bukan telefon pintar.

“Selain itu ada yang tiada internet, bila ada WiFi percuma baru balas. Kita tidak mahu murid-murid tercicir dalam pelajaran jadi kaedah paling berkesan harus dilaksanakan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!