Zii Jia tersingkir awal

Zii Jia tersingkir pada pusingan pertama Toyota Terbuka Thailand di Bangkok sebentar tadi.
Zii Jia tersingkir pada pusingan pertama Toyota Terbuka Thailand di Bangkok sebentar tadi.
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Toyota Terbuka Thailand di Bangkok sebentar tadi.

Tampil selaku pilihan kelapan, Zii Jia terpaksa akur tewas 21-18, 25-27, 19-21 kepada pemain India, Sameer Verma dalam pertarungan yang memakan masa lebih satu jam.

Ia merupakan kekalahan kedua yang dialami Zii Jia di tangan Sameer selepas kali pertama pada Terbuka Australia 2019, sekali gus menjadikan rekod pertemuan mereka kepada 4-2.

Terdahulu, beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menempah tiket ke pusingan kedua selepas melakar kemenangan 21-13, 21-13 ke atas gandingan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Kilasu Ostermeyer dalam tempoh 30 minit.

Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut melangkah ke pusingan kedua selepas lawan mereka dari Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae menarik diri pada set pertama ketika kedudukan 6-2.

Turut mengikut jejak mereka adalah beregu lelaku negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Thailand, Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkham 21-10, 21-18 dalam tempoh 32 minit.

Beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut mara ke pusingan kedua apabila menewaskan pasangan England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-14, 21-14 dalam tempoh 34 minit.

Pemain perseorangan wanita, S Kisona pula tidak berdepan masalah melepasi ujian sulung apabila mudah menyingkirkan pemain Mesir, Doha Hany 21-10, 21-7 dalam tempoh 23 minit.

Artikel Berkaitan: