X

Kindly register in order to view this article
!

Top Glove selar TV Kanada keluar laporan mengelirukan

Top Glove menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan pekerjanya menjadi keutamaan syarikat.
A
A

KUALA LUMPUR - Top Glove Corp Bhd menafikan laporan Canadian Broadcasting Corporation (CBC) baru-baru ini mengenai kebajikan pekerjanya, menyifatkan sebagai mengelirukan dan telah merosakkan reputasi baik syarikat itu.

Syarikat itu berkata, laporan tersebut dengan sengaja memandang ringan atau tidak memasukkan langkah-langkah pemulihan terkini yang telah diambil oleh pengeluar sarung tangan getah itu.

“Kami amat kecewa apabila langkah-langkah pemulihan kami tidak disiarkan secara menyeluruh dan dinyatakan secara adil dalam video laporan utama,” menurut Top Glove dalam kenyataan pada Selasa.

Dakwaan itu dibangkitkan oleh CBC dalam siaran dan laporannya, serta cara ia digambarkan, mencadangkan ada pelanggaran dalam dasar sedia ada dan itu termasuk komitmen Top Glove untuk memerangi amalan buruh paksa dan pelaksanaan dasar yang kukuh untuk melindungi hak pekerjanya, katanya.

Dilaporkan bahawa CBC pada Jumaat telah menyiarkan video dan artikel memperincikan apa yang disebut sebagai persekitaran kerja yang ‘mengerikan’ di kilang-kilang Top Glove.

Laporan tersebut menggunakan rakaman kamera tersembunyi, dilaporkan diambil menggunakan kamera yang diseludup ke premis tersebut dengan bantuan pekerja Top Glove, yang mana CBC mendakwa menunjukkan persekitaran kerja yang tidak selamat dan keadaan tempat tinggal pekerjanya yang sesak.

“Top Glove komited untuk memastikan perhambaan hutang dan isu lain yang berkaitan yang telah disalah lapor oleh CBC tidak mempunyai tempat dalam operasi perniagaan kami. Kami mengatasi perkara ini dengan memastikan membuat keputusan yang tepat di semua peringkat operasi kami yang dinilai oleh pengurusan dan pengarah kami.

“Sebagai langkah wajib tambahan, syarikat melakukan penilaian untuk mengenal pasti jurang dan potensi risiko dalam operasi dan rantaian bekalan kami, membangunkan pelan mitigasi dan menyediakan langkah pemulihan dalam bidang yang perniagaan dan operasi kami tidak memenuhi aspirasi kami mengenai hak pekerja kami,” katanya.

Top Glove menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan pekerjanya menjadi keutamaan syarikat. Dalam menghasilkan sarung tangan perubatan berkualiti tinggi untuk melindungi pengamal perubatan dan petugas barisan hadapan di seluruh dunia, syarikat komited untuk mematuhi langkah-langkah ketat bagi melindungi semua pekerja dan masyarakat.

Pada 11 pagi, saham Top Glove merosot 0.63 peratus kepada RM6.30. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!