Bekas tahanan SOSMA terlibat kes pecah rumah

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Seorang bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (SOSMA) antara dua yang ditahan di Taman Sentosa Klang, di sini, pada Isnin, dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 39 tahun itu ditahan pada jam 3.30 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati dua lelaki itu aktif dalam kes terbabit sejak awal Januari tahun ini.

"Kita percaya suspek terlibat dalam tiga kes di daerah Klang Selatan dan kes terbaru dilakukan mereka adalah pada Jumaat lalu di Taman Sri Sentosa Klang.

"Dalam kejadian itu, suspek telah melarikan sebuah televisyen, alatan audio, wang tunai dan beberapa barangan lain yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM5,000," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, soal siasat juga mengesyaki suspek terlibat dalam kes pemerasan terhadap pekerja dan tuan rumah yang melakukan pengubahsuaian rumah.

Katanya, semakan pihaknya mendapati kedua-dua mereka memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

"Salah seorang daripadanya juga adalah bekas tahanan SOSMA kerana terlibat dalam kumpulan kongsi gelap 24 Apache," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membeli barangan hasil jenayah yang dilakukan suspek.

"Kedua-dua suspek yang positif dadah disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.