Saya belum terima surat pemecatan: ADUN Malim Nawar

Cheok Keng
Cheok Keng
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng mengesahkan belum menerima sebarang surat mengenai pemecatannya oleh DAP Pusat.

Menurutnya, pengumuman mengenai pemecatan itu hanya diketahui menerusi laporan sebuah portal berita pada Isnin.

"Saya sendiri tidak tahu mengenainya. Cuma baca melalui media sahaja yang saya telah dipecat dari DAP.

"Setakat ini tak ada apa-apa yang saya boleh komen sebab saya sendiri tak terima apa-apa surat rasmi mengenai perkara tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu dalam laporan sebuah portal berita memaklumkan bahawa Jawatankuasa Disiplin DAP telah membuat keputusan memecat Cheok Keng pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Sertai MCA: Peguam DAP desak ADUN Malim Nawar buat keputusan

2 ADUN DAP Perak letak jawatan dalam parti demi Paul Yong

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chien Jen dalam satu kenyataan bahawa keputusan memecat ADUN Malim Nawar itu berkuat kuasa serta merta.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina mendedahkan beberapa ADUN DAP akan menyertai MCA termasuk Cheok Keng.

Malah, Setiausaha Organisasi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak, Steven Tiw pada 5 Januari lalu dalam satu kenyataan meminta agar Cheok Keng meletakkan jawatan sebagai ADUN Malim Nawar.

Katanya, beberapa tindakan Cheok Keng yang sebelum ini membelakangi parti disifatkan sebagai musuh dalam selimut.

"Beliau harus sedar bahawa kemenangan sebagai ADUN sebelum ini adalah disebabkan oleh kepercayaan yang diberi oleh rakyat kepada parti DAP dan bukannya kekuatan atau pun peribadi Leong (Cheok Keng).

“Saya mencabar beliau meletakkan jawatan sebagai ADUN dan membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan yang padu dengan memenangi pilihan raya akan datant menggunakan logo atau parti yang baru disertai," katanya yang jugaSetiausaha Politik Ahli Parlimen Ipoh Timor.

Pada 11 September 2019, Cheok Keng bersama seorang lagi wakil rakyat DAP, ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih mengumumkan peletakan jawatan di dalam jawatankuasa DAP Perak.

Keputusan tersebut dibuat selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming di dalam akhbar berbahasa Cina berhubung perbincangan dalam Pakatan Harapan (PH) mengenai kedudukan Exco kerajaan negeri, Paul Yong yang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumah.