Al-Kisah Sang Belalang...

Walaupun sejarah penceritaan bangsa Melayu tidak pernah mencatatkan atau merakamkan siapakah pencipta peribahasa dan pepatah bermadah tetapi hakikatnya ialah peribahasa seperti Lain Padang Lain Belalang mengandungi pesan moral luhur dan bijak.
Walaupun sejarah penceritaan bangsa Melayu tidak pernah mencatatkan atau merakamkan siapakah pencipta peribahasa dan pepatah bermadah tetapi hakikatnya ialah peribahasa seperti Lain Padang Lain Belalang mengandungi pesan moral luhur dan bijak.
A
A
A

SALAM perkenalan. Kepada semua pembaca Sinar Ahad, Belalang ingin memperkenalkan diri.

Ini adalah ruangan pojok Belalang yang pertama. Bos Belalang mengesyorkan Belalang menulis pojok kerana katanya, Belalang tidak patut mensia-siakan bahan yang Belalang kutip saban hari.

Manakan tidak. Sepanjang pengembaraan ini, Belalang bertemu dengan pelbagai jenis manusia dan makhluk. Maklum sajalah sifat Belalang yang berterbangan dari satu padang ke padang yang lain.

Malah dalam perjalanan Belalang, di setiap padang yang Belalang singgah, Belalang bertemu dengan spesies belalang yang berlainan. Gamaknya, sebab itulah wujud pepatah atau peribahasa “Lain Padang Lain Belalang. Lain orang lain caranya”.

Orang dulu-dulu telah melihat dan memahami semua ini. Dan Belalang juga turut mempelajari sedikit sebanyak daripada pengembaraan Belalang.

Antaranya, adat sesebuah negeri dengan negeri yang lain, punya resam dan budaya yang berbeza. Begitu juga dengan setiap tempat, punya tatacara kehidupan yang berlainan.

Walaupun sejarah penceritaan bangsa Melayu tidak pernah mencatatkan atau merakamkan siapakah pencipta peribahasa dan pepatah bermadah tetapi hakikatnya ialah peribahasa seperti Lain Padang Lain Belalang mengandungi pesan moral luhur dan bijak.

Maknanya, kita harus selalu menghargai perbezaan kerana Tuhan telah mencipta makhluknya dengan pelbagai rupa dan bangsa - untuk meraikan perbezaan agar manusia mengenali di antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan spesies Belalang. Kalau tak silap terdapat hampir 11,000 spesies di seantero dunia.

Semuanya dicipta untuk saling kenal mengenali di antara satu sama lain.

Tapi ada kalanya, gagal memahami dan menghayati perbezaan ini boleh membawa kepada musibah. Maka Belalang pun terkenang kembali bagaimana baru-baru ini seorang pemain bolasepak terkemuka dan kegemaran Belalang terjebak dalam satu kontroversi perbezaan budaya dan cara hidup.

Namanya Edinson Cavani. Dia berasal dari Uruguay, sebuah negara di Amerika Selatan. Dia berkulit putih asal usul keturunan Sepanyol.

Kini dia bermain dengan kelab Inggeris Manchester United. Sebelum berhijrah menyeberangi Selat Inggeris, dia bermain dengan kelab Paris di Perancis.

Dia belum fasih berbahasa Inggeris dan belum sebati dengan budaya Inggeris. Dalam satu perlawanan liga dia telah menjaringkan gol. Selepas perlawanan tamat dia telah menerima pelbagai pesanan ringkas ucapan tahniah daripada sahabat-sahabat lamanya termasuklah seorang kenalannya berkulit hitam yang tinggal di Uruguay.

Dan dia membalas ucapan itu dalam bahasa Sepanyol “gracias, negrito...” atau dalam bahasa Melayu akan berbunyi “terima kasih, Pak Hitam...”

Di negara-negara Amerika Selatan atau Caribbean ia adalah panggilan mesra sesama sahabat. Ia adalah amalan biasa. Sama macam di kampung kita panggil kawan kita Zul Pak Hitam atau Pak Tam kerana kulitnya gelap sikit.

Tapi di England lain caranya. Ia boleh ditafsirkan sebagai satu panggilan bersifat rasis atau konotasi rasis. Akibatnya Cavani digantung tiga perlawanan walaupun dia telah menjelaskan dengan panjang lebar tentang budaya negara asalnya yang menganggap panggilan sedemikian adalah normal dan tidak bermaksud menghina.

Selepas insiden tersebut, Cavani terpaksa menghadiri satu kelas malam yang mengajar tentang adat dan budaya di negara Inggeris itu. Mungkin sama seperti yang pernah kita tonton dalam drama Inggeris popular di tahun 1980-an, Mind Your Language.

Betapa perbezaan padang membawa cara dan adat yang berbeza - ibarat peribahasa Melayu, Lain Padang Lain Belalang.

Belalang - Tiada kaitan dengan cerita Nujum Pak Belalang.