Tak sempat nak lepas gian
TAMPIN - Polis menahan 12 individu termasuk seorang wanita dalam Op Sarang sempena Tahun Baharu Cina di ladang kelapa sawit dekat Gemas dan Gemencheh, Rabu lalu.
Individu yang ditahan berusia 30-an hingga 56 tahun merupakan dua lelaki dipercayai pengedar dadah dan bakinya adalah penagih dadah termasuk wanita yang berasal dari Batu Kikir, Jempol.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, operasi yang bermula seawal jam 5 pagi ini membabitkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.
"Hasil serbuan polis menahan dua lelaki berusia 30- an yang disyaki merupakan pengedar dadah. Kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Turut dirampas heroin seberat 93.80 gram disyaki dijual di kawasan sekitar kebun tersebut," katanya.
Ramli berkata, dalam pada itu seramai 10 individu berusia antara 30-an hingga 56 tahun termasuk seorang wanita berusia 34 tahun dipercayai penagih dadah tidak sempat melunaskan hajat membeli stok dadah turut ditahan.
"Berdasarkan, hasil ujian air kencing, semua suspek positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Semua tangkapan adalah penduduk tempatan dan ada yang datang dari Melaka," katanya.
Katanya, polis akan sentiasa menjalankan operasi seumpama ini dalam usaha membendung aktiviti penyalahgunaan dadah, justeru orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan kepada polis.Suspek berusia 30-an hingga 56 tahun ditahan dalam Op Sarang dalam ladang kelapa sawit di Gemas dan Gemencheh, Rabu lalu.