Presint 9 sesak, netizen bimbang wujud 'Kluster Ayam'

Beberapa keping gambar kesesakan Presint 9, Putrajaya yang tular di media sosial pada Khamis.
Beberapa keping gambar kesesakan Presint 9, Putrajaya yang tular di media sosial pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Hanya kerana untuk seekor ayam beku, Presint 9 di sini sesak apabila orang ramai berpusu-pusu datang untuk mendapatkannya.

Sebanyak 2,000 ekor ayam diagihkan secara percuma oleh Pemuda UMNO Putrajaya pada Khamis.

Hampir 2,000 penduduk Putrajaya mengunjungi lokasi agihan tersebut yang dibuat di hadapan Rumah Perlindungan Kucing sejak jam 4 petang.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan sehingga jalan utama Presint 9, sekali gus menimbulkan kebimbangan awam terhadap jangkitan Covid-19.

Beberapa keping gambar memperlihatkan orang ramai menaiki motosikal dan kereta beratur panjang untuk mendapatkannya menjadi tular di media sosial.

Warga maya melahirkan kebimbangan kemungkinan 'Kluster Ayam' akan muncul akibat program tersebut.

Hampir 2,000 penduduk Putrajaya mengunjungi lokasi agihan tersebut yang dibuat di hadapan Rumah Perlindungan Kucing sejak jam 4 petang.
Hampir 2,000 penduduk Putrajaya mengunjungi lokasi agihan tersebut yang dibuat di hadapan Rumah Perlindungan Kucing sejak jam 4 petang.

Putrajaya yang kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama enam negeri lain merekodkan dengan bilangan 229 kes dalam tempoh 14 hari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Mohd Zushaidey Zulkifli yang dihubungi berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis.

"Kami menitikberatkan soal prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana agihan dibuat secara pandu lalu dan tidak melibatkan sebarang sentuhan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya tidak menjangkakan menerima sambutan luar biasa.

"Pada mulanya kami bercadang untuk memberi dua ekor ayam bagi setiap orang, tetapi memandangkan terlalu ramai yang datang, kita bagi seekor ayam untuk seorang," katanya.

Tambah beliau inisiatif itu bagi meringankan beban penduduk Putrajaya.

"Menjadi kebiasaan UMNO Putrajaya untuk menghulurkan bantuan kepada semua penduduk," katanya.