Kapal bersalut tembaga timbul di Kampung Pagar Penjom

Struktur kapal lama bersalut tembaga yang ditemui di tepi Sungai Pagar,Kampung Pagar Penjom, Kuala Lipis pada Rabu. Gambar kecil: Mohamad Hafiz
Struktur kapal lama bersalut tembaga yang ditemui di tepi Sungai Pagar,Kampung Pagar Penjom, Kuala Lipis pada Rabu. Gambar kecil: Mohamad Hafiz
A
A
A

KUALA LIPIS - Penduduk Kampung Pagar Penjom di sini gempar dengan penemuan sebuah kapal bersalut tembaga yang didakwa berusia 200 tahun terdampar di tepi Sungai Pagar selepas banjir besar di kampung itu surut pada Rabu.

Penduduk kampung, Mohamad Hafiz Jalaluddin@Mohd Rashid, 41, memberitahu mengetahui kejadian itu daripada penduduk kampung ketika sedang membersihkan kediamannya yang terjejas akibat banjir sebelum bertindak mencari lokasi kapal terbabit.

Menurutnya, kapal berkenaan dipercayai tenggelam akibat ditembak berikutan terdapat kesan tembakan pada bahagian kapal tersebut.

"Melihat kepada kesan tembakan pada bahagian bawah kapal ini berkemungkinan ia membawa barangan berharga ketika belayar sebelum tenggelam.

"Malah turut ditemui kepingan tembaga dengan tulisan Vivian&Sonsc 16 0z yang merujuk kepada pengeluar salutan tembaga.

"Dipercayai kapal ini mungkin digunakan sebagai pengangkutan di Pahang pada zaman dahulu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Kepingan logam yang ditemui pada kapal tersebut yang tertera tulisan Vivian & Sons 16 Oz.
Kepingan logam yang ditemui pada kapal tersebut yang tertera tulisan Vivian & Sons 16 Oz.

Bagaimanapun katanya, keadaan kapal terbabit sudah pun rosak dan dileraikan ketika ditemui.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Hafiz yang juga Penghulu Mukim Kechau mengakui kesal dengan tindakan pihak merosakkan kapal terbabit dan tidak menolak kemungkinan penemuan tersebut mempunyai nilai yang tinggi dan boleh dijadikan bahan sejarah kepada generasi akan datang.

"Saya percaya struktur kapal ini telah diambil oleh individu tidak bertanggungjawab kerana saya difahamkan oleh penduduk kampung bahawa kapal ini telah ditemui oleh sekumpulan pemancing terlebih dahulu semalam.

"Saya turut difahamkan bahawa satu laporan polis juga telah dibuat berhubung perkara ini," katanya.

Terdahulu, beliau turut memuat naik status penemuan kapal tersebut di laman sosial Facebook semalam supaya perkara itu diberi perhatian oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Warisan Negara.