'Jabatan netizen' berperanan sebagai semak dan imbang

MOHD DAUD BAKAR
MOHD DAUD BAKAR
A
A
A

SHAH ALAM - 'Jabatan netizen' boleh dijadikan sebagai pihak berkepentingan dalam membina negara moden sebagai semak dan imbang dengan menyalurkan maklumat kepada kerajaan berpaksikan berita tepat, benar, cepat dan bertanggungjawab.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar sehubungan itu berkata, golongan itu perlu dididik supaya menyampai serta menyebarkan berita atau isu yang sahih demi kebaikan bersama.

Beliau berkata, kewujudan 'jabatan netizen' ini juga dapat membantu pihak berkaitan menyelesaikan masalah yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Netizen ini isu satu 'stakeholder' baharu di Malaysia yang tidak akan berkurangan. Jadi kita memerlukan netizen yang lebih berketrampilan, mengkaji, membaca, memikir dan menularkan berita yang benar-benar betul untuk mendapatkan satu matlamat yang lebih baik dalam masyarakat.

“Sebab agensi kerajaan atau swasta mungkin lambat bertindak tidak seperti agensi netizen kerana mereka berada satu meter persegi dan melihat apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka.

“Dengan adanya mereka ini, setiap masalah yang berlaku dapat diselesaikan segera, sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya pada program Wacana Al-Quran siri ke-63 bertajuk ‘Kerajaan Netizen: Boleh Percayakah?' yang bersiaran secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Program itu turut menampilkan Penganalisis Politik dan Pengajian Media daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sarah Chinnasamy sebagai panelis, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali memperdengarkan bacaan surah al-Hujurat, ayat enam dan surah An-Nisa ayat 83.

Mohd Daud berkata, insentif atau ganjaran juga perlu diberikan kepada netizen yang membantu menyampaikan berita sahih kepada agensi terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Banyak lagi cara yang boleh kita santuni netizen; contohnya berikan data internet percuma kepada mereka yang bertindak berkongsi maklumat sahih berkaitan sesuatu isu atau masalah berlaku di sekeliling mereka.

“Kerajaan juga perlu mengalakkan mereka supaya menjadi penyebar berita yang bertanggungjawab dengan memberikan ganjaran kerana mereka pencetus berita atau maklumat sahih,” katanya.

Mohd Daud yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, hukuman setimpal juga perlu dikenakan kepada netizen bertindak menyebarkan maklumat palsu sehingga menimbulkan huru-hara dalam masyarakat dan negara.

“Mereka ini kadang-kadang bertindak sebagai penyiasat, peguam dan hakim dalam satu-satu masa tanpa ada bukti yang kukuh. Mereka terus beri hukuman tanpa mengetahui sama ada sumber yang diperoleh benar atau palsu.

“Justeru mereka yang bertindak menyebarkan berita palsu ini perlu dikenakan tindakan undang-undang agar ia memberi pengajaran kepada semua.

“Dalam masa sama, kerajaan juga perlu mempertingkatkan lagi usaha dalam menangani berita palsu ini kerana ia memberi kesan kepada mereka yang terlibat,” katanya.