Menggigil nampak api marak

Mohd Fasiah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dan bantuan kewangan kepada Mohd Rizal (dua dari kanan) selepas rumah teres disewa terbakar pada malam Selasa.
Mohd Fasiah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dan bantuan kewangan kepada Mohd Rizal (dua dari kanan) selepas rumah teres disewa terbakar pada malam Selasa.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Seorang peniaga kedai makan menggigil ketika melihat api sedang marak di dapur selepas membuka pintu rumah sewanya dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah teres di Taman Seri Indah di sini pada malam Selasa.

Menceritakan semula kejadian itu Mohd Rizal Mohd Idrus, 39, berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku ketika dia sampai di rumah tersebut untuk menunaikan solat Isyak.

"Ketika membuka pintu depan rumah, saya sudah terasa bahang panas pada bahagian kaki. Saya terus menggeletar apabila melihat api di dapur dan hanya mampu beristighfar," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Rizal berkata, dia kemudian menghubungi bomba untuk bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Muhammad Khuzaimey Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.47 malam.

Katanya, selain rumah mangsa terbakar 80 peratus, dua lagi rumah bersebelahan turut terbakar kira-kira 15 peratus.

"Seramai 24 anggota termasuk dari BBP Sabak Bernam dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta empat jentera bergegas ke tempat kejadian," katanya.

Muhammad Khuzaimey berkata, kebakaran dapat dikawal pada 9.31 malam dan operasi tamat pada jam 11.10 malam.

Artikel Berkaitan:

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran ini," katanya.

Beberapa peralatan perniagaan dan barangan di dalam rumah musnah dalam kebakaran.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh melawat mangsa kejadian itu.

Mohd Fasiah berkata, beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dan memberi bantuan kewangan kepada mangsa terlibat.

"Kita akan memberi bantuan sebanyak RM2, 000 kepada mangsa dan dua rumah jiran masing-masing RM1, 000," katanya.

Tambahnya, beliau juga akan memohon bantuan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk kos baik pulih dan bantuan lain daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Kita juga akan menyumbang dari segi yuran persekolahan anak-anak mangsa terlibat dan membeli perabot untuk kegunaan keluarga ini," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Mohd Rizal di talian 018-3868376 atau ke akaun Maybank (162197419256) atas nama Mohd Rizal Mohd Idrus.