Muhammad Adib semakin baik: KP Bomba

Mohammad Hamdan (tengah) hadir melawat Muhammad Adib di IJN.
Mohammad Hamdan (tengah) hadir melawat Muhammad Adib di IJN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, awal pagi semalam menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Muhammad Adib Mohd Kassim dipindahkan ke IJN dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), pada jam 11.33 malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, keadaan Muhammad Adib bertambah baik dari berdasarkan bacaan yang ditunjukkan serta penjelasan doktor IJN.

Menurutnya, malah keluarga Muhammad Adib juga dalam keadaan baik, semangat mereka masih kuat apabila melihat perkembangan rawatan.

“Kita ucapkan terima kasih pada pihak IJN, kita teruslah berdoa supaya keadaan Muhammad Adib terus bertambah baik," katanya kepada pemberita selepas menziarahi Muhammad Adib di IJN, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jadikan kisah duka Adib sebagai pengajaran buat semua]

Sementara itu, Penasihat Pembedahan Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohd Nazeri Nordin, berkata pihaknya menggunakan mesin sokongan hayat dalam rawatan iaitu Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO).

“Prosedur rawatan bermula jam 1.30 pagi itu selesai pada jam 2.30 pagi, mesin itu memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa selepas dadanya mengalami kecederaan yang serius.

“Buat masa ini, keadaannya stabil tetapi masih dalam keadaan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel Berkaitan:


Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, keputusan memindahkan Muhammad Adib dibuat susulan perbincangan yang dilakukan pihaknya dengan IJN agar mangsa diberi rawatan sewajarnya.

Muhammad Adib, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Difahamkan, mangsa dikatakan mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman akibat dipukul dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu.