Buktikan darurat demi rakyat, bukan ‘talian hayat’

Perutusan Khas Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada Selasa. - Foto Bernama
Perutusan Khas Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

TARIKH 12 Januari 2021 menyaksikan buat pertama kalinya Malaysia, selepas beberapa siri proklamasi darurat, sekali lagi melaksanakannya bagi membendung ancaman pandemik Covid-19 yang semakin kritikal.

Selepas permohonan awal proklamasi darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditolak Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu, Seri Paduka Baginda sekali lagi mempamerkan kebijaksanaan untuk memperkenankannya pada kali ini.

Ketika ini, kes jangkitan harian paling tinggi Covid-19 melebihi 3,000 kes dan dijangka melepasi unjuran 8,000 kes sehari sekiranya kadar kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

Sama ada setuju atau tidak, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri berisiko selain proklamasi darurat sememangnya penting bagi memberi ruang sepenuhnya kerajaan menangani Covid-19.

Bagaimanapun, pemimpin parti pembangkang dan sebilangan pemimpin UMNO melihat langkah pelaksanaan darurat sebagai tindakan terdesak Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengekalkan kuasa mereka.

Apatah lagi dengan tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz mengikut jejak langkah dua pemimpin lagi UMNO iaitu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pada hari ini bagi menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Maka inisiatif pelaksanaan darurat ditafsirkan sebagai usaha mengelakkan kerajaan PN tumbang, sekali gus mengelakkan pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada saat pandemik Covid-19 semakin parah.

Persoalannya, adakah kerajaan PN benar-benar telus menggunakan kuasa proklamasi darurat untuk menangani ancaman kesihatan awam atau sekadar memperalatkannya demi kekal berkuasa?

Artikel Berkaitan:

Sebelum kita pergi lebih jauh, rakyat negara ini perlu mengetahui langkah pelaksanaan darurat bukan sesuatu yang asing di negara ini.

Bermula dengan darurat Tanah Melayu diisytiharkan British bagi menangani ancaman komunis pada tahun 1948.

Proklamasi seterusnya adalah melalui darurat konfrontasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1964, darurat krisis politik Sarawak pada 1966, darurat rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan darurat krisis politik Kelantan pada tahun 1977.

"Meskipun ramai mendakwa proklamasi darurat dibuat sewaktu peristiwa jerebu sekitar tahun 1997, 2005 dan 2013, hakikat sebenar hanya perintah kurung dikuatkuasakan kerajaan bagi menangani isu pencemaran udara kritikal berkenaan.

"Proklamasi darurat juga dilaksanakan di Parlimen Batu Sapi, Gerik dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya pada tahun lalu. Namun langkah itu lebih bertujuan mengelakkan berlaku pilihan raya kecil (PRK) pada saat Covid-19," kata pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar kepada Sinar Harian pada Selasa.

Khairil Azmin Mokhtar
Khairil Azmin Mokhtar

Lebih menarik, Khairil Azmin turut mendedahkan rakyat negara ini secara tanpa sedar, sebenarnya hidup di bawah tiga proklamasi darurat sehingga kesemuanya dibatalkan melalui sidang Parlimen pada tahun 2011.

"Pada 25 November 2011, Dewan Rakyat meluluskan usul Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membatalkan tiga proklamasi darurat iaitu darurat 1966, darurat 1969 dan darurat 1977 menurut Fasal (7) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru, tidak timbul isu proklamasi darurat akan menjejaskan hak kebebasan rakyat menjalani kehidupan seperti biasa mahu pun pelaksanaan pilihan raya.

"Ini kerana darurat dilaksanakan kerajaan ketika ini hanya di peringkat pentadbiran dengan fokus utama pastinya tertumpu ke arah usaha menangani Covid-19," katanya.

Berkenaan status kerajaan PN setelah proklamasi darurat dilaksanakan, Khairil Azmin menegaskan kerajaan masih boleh berfungsi seperti biasa tanpa perlu dibentuk sebuah kerajaan interim.

"Bahkan tidak menjadi kesalahan untuk sidang Parlimen diprorog lebih enam bulan selepas penggal terakhir kerana kuasa darurat di bawah Perkara 150 (6) Perlembagaan Persekutuan adalah melangkaui peruntukan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Cuma, perkara terbaik adalah Perdana Menteri mempertimbangkan keperluan PRU segera setelah Covid-19 kembali reda bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat di samping memastikan kerajaan baharu dibentuk lebih stabil," katanya.

Bagi sebilangan pihak, lontaran pandangan langkah darurat sekadar bertujuan menyelamatkan Muhyiddin dan kerajaan PN adalah tidak benar sama sekali.

Langkah terakhir

Sentimen itu diperakui penganalisis politik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Ismail Sualman dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Wan Ahmad Fayhshal Ahmad Kamal.

Bagi Ismail, sekiranya ada pihak menjadikan pelaksanaan darurat untuk 'menyerang' Muhyiddin, itu hanyalah mainan politik.

Ismail Sualman
Ismail Sualman

Realitinya menurut Ismail, negara yang pernah berdepan dengan situasi sama seperti Korea Selatan juga mengambil pendekatan sama termasuklah Amerika Syarikat yang kini mempertimbangkan darurat sebagai langkah terakhir untuk memutuskan jangkitan Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong bukan mendengar nasihat Perdana Menteri sahaja. Yang di-Pertuan Agong perlu merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu, penasihat dan pakar-pakar lain.

"Jadi, jangan ingat Yang di-Pertuan Agong terlalu mudah mengikut rentak permainan politik. Yang di-Pertuan Agong mengutamakan keselamatan dan kesihatan berbanding topik lain," ujar beliau.

Bagi Wan Ahmad Fayhsal pula, penubuhan sebuah jawatankuasa khas bebas bagi menjamin pelaksanaan darurat pula adalah bukti komitmen dan keikhlasan kerajaan PN untuk tidak menyalahgunakan kuasa berkenaan.

Selain itu, beliau menegaskan terdapat satu jawatankuasa bersama yang turut ditubuhkan bagi menentukan tarikh pelaksanaan PRU15 setelah proklamasi darurat ditamatkan.

"Jawatankuasa khas bebas itu akan merangkumi semua pihak termasuk pemimpin pembangkang dan bakal bersifat 'semak dan imbang' kepada kerajaan.

"Jadi hal ini bukan politik, bukan soal mengekalkan kuasa Perdana Menteri tetapi mengatasi situasi genting melibatkan kelumpuhan sistem kesihatan awam," jelas beliau.

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu turut mengajak semua pihak mengadakan rekonsilisasi nasional dengan tidak mempersoalkan lagi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelaksanaan darurat.

"Ayuh kita semua tumpu kepada isu keselamatan dan kesihatan negara. Kalau mahu adakan PRU15 sekalipun, sebaiknya selepas kita berjaya melandaikan kembali lengkung jangkitan Covid-19," ujarnya.

Di sebalik kecenderungan UMNO bersifat antagonis terhadap kerajaan PN ketika ini, seorang pemimpin parti itu akur pendekatan 'stand down' terhadap sebarang usaha mengganggu gugat pentadbiran kerajaan perlu dipenuhi UMNO ketika ini.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berpandangan proklamasi darurat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong adalah isyarat jelas gencatan politik perlu dilaksanakan semua pihak secara total, termasuk UMNO, sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias

"Mengganggu gugat itu seperti dalam soal politik, memberi tekanan dan sebagainya. Semua pemimpin parti terutama ahli-ahli Parlimen mestilah mengekalkan hala tuju untuk bersama-sama kerajaan mengurangkan bebanan dan tekanan rakyat kepada pandemik, masalah ekonomi, kos sara hidup dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menegaskan prinsip kesetiaan beliau terhadap parti tidak pernah berubah dan seiring dengan ketetapan dibuat sebelum darurat dilaksanakan.

"Namun pada saat ini, kita jangan cakap soal politik, stabilkan dahulu kerajaan, beri sokongan kepada kerajaan PN sehingga pilihan raya sebagaimana diputuskan UMNO sebelum ini," katanya.