222 pemegang PhD sokong darurat, tolak PRU15 dalam tempoh terdekat

Mohd Roslan Mohd Nor
Mohd Roslan Mohd Nor
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 222 pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) menyokong pengisytiharan darurat dan menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, cadangan pelaksanaan Proklamasi Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin pada Selasa sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian di negara ini.

Menurutnya, Pintar juga menolak cadangan supaya PRU 15 dilaksanakan dalam waktu terdekat.

“Ini selaras dengan kegusaran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap kenaikan angka jangkitan Covid-19 secara mendadak dan kesan bencana banjir boleh memudaratkan kesihatan rakyat.

“Kami juga meminta semua pihak lain tidak mempersoal apalagi mencabar pandangan Yang di-Pertuan Agong berkaitan keperluan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia hanya dibuat setelah Seri Paduka Baginda merundingkannya dengan Raja-Raja Melayu," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Roslan, pihaknya menyanjung tinggi keputusan memberi perkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkait.

Tambahnya, lebih ramai pemegang ijazah PhD yang mahu bersama menyokong kenyataan tersebut kerana ingin menzahirkan hasrat majoriti rakyat negara ini.

Artikel Berkaitan: