Maklum balas, cadangan untuk JKD dilanjutkan

Pengerusi Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid pada sidang media di Kementerian Pendidikan hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid pada sidang media di Kementerian Pendidikan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tempoh bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan untuk kajian dasar pendidikan negara yang sepatutnya berakhir 28 Februari ini dilanjutkan sehingga Mac, kata Pengerusi Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid.

Ibrahim berkata, JKD sejak ditubuhkan pada 18 Oktober tahun lepas telah mengadakan siri pertemuan dengan kira-kira 2,500 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas sama ada secara bersemuka, sesi dialog awam, taklimat dan syarahan umum.

Lebih 2,000 maklum balas secara dalam talian turut diterima dengan sebahagian daripada pandangan tersebut ‘mengagumkan’, katanya.

"Kita (JKD) percaya laporan kajian yang akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan pada 30 April ini akan membawa perubahan kepada dasar pendidikan negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebelum ini mengumumkan penubuhan JKD sebagai badan bebas untuk mengkaji dasar pendidikan negara selain Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (prasekolah hingga lepasan menengah) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (pendidikan tinggi).

JKD yang dianggotai 13 anggota itu bekerjasama dengan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk mengkaji dasar pendidikan negara sebelum membuat syor kepada Kementerian Pendidikan pada 30 April ini.

Cadangan boleh dikemukakan melalui pautan https://goo.gl/forms/fq0dj2BFqQPoGEZx1 atau melalui e-mel kepada jkkdpn@gmail.com atau menulis surat kepada sekretariat JKD, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Aras 3 Blok E8, Kompleks E, 62604 Putrajaya.

Ibrahim berkata, Malaysia mewarisi model pendidikan yang baik daripada British yang berasaskan kepada model Universiti Oxford dan Universiti Cambridge, namun perkembangan budaya, sains dan teknologi memerlukan perubahan kepada dasar pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Lembaga Peperiksaan kita ada kaitan dengan Cambridge Examinations Syndicate, kita mewarisi Inspectorate of Schools, kita juga warisi protokol membina kurikulum dan model pendidikan guru yang antara yang terbaik.

"Kita mewarisi semua ini dan kita membangun, tetapi ada beberapa perkara yang kita perlu jelas. Pembangunan bukan one-off tetapi berterusan," katanya. - Bernama