Negeri Sembilan tak pandang mudah ancaman PDRM

No Image Caption
A
A
A

SKUAD Rusa tidak akan mengambil mudah perlawanan keduanya dalam Liga Premier menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini, kata ketua jurulatihnya Mat Zan Mat Aris.

"Saya mengingatkan pemain supaya memberi tumpuan sepenuhnya dalam segala aspek bagi memastikan mereka dapat menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut. Semua pasukan mempunyai kelebihan dan perancangan tersendiri dan pemain tidak boleh mengambil mudah...kami harus berada di tahap lebih baik.

"Saya berharap pemain tidak leka dan dapat menyesuaikan diri kerana perlawanan itu berlangsung pada waktu petang. Selain itu, saya juga berharap pemain tidak berasa tertekan dan dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan baik mengikut perancangan," katanya di sini, semalam.

Katanya, walaupun PDRM tewas 1-3 kepada UiTM FC pada 2 Februari lalu, namun The Cops kendalian jurulatih Fauzi Pilus itu perlu diberi perhatian terutama kelincahan penyerang import Lee Chang Hoon dari Korea Selatan yang pernah mewakili Melaka United musim lalu.

Di samping itu katanya, skuad Sang Saka Biru turut diperkuatkan pemain import kelahiran Brazil Andrezinho, pemain Montenegro Benjamin Redzovic dan Argzim Redzovic yang merupakan abang kepada Benjamin.

"PDRM memiliki kekuatan berbeza dan kami akan bermain mengikut kekuatan pasukan lawan. Saya percaya semua pemain kami telah bersedia menghadapi lawan mereka," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: