X

Kindly register in order to view this article
!

'Hanya buang limau purut, limau nipis ke dalam sungai'

Rakaman tular sejak Isnin lalu menunjukkan seorang wanita membuang sampah dari dalam kereta di tengah lalu-lintas di sebuah jambatan di daerah Tanah Merah.
A
A

KOTA BHARU - Suami kepada wanita yang tular kerana membuang sampah dari dalam kereta di sebuah jambatan di daerah Tanah Merah tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesalahan yang dilakukan dua ahli keluarganya itu.

Beliau yang berusia 30 tahun dari Kampung Belimbing, Tanah Merah berkata, sampah dalam dua plastik berwarna biru yang dilempar ke sungai oleh isteri dan ibu mentuanya tersebut mengandungi limau purut, limau nipis dan dua botol kecil didakwa hasil selepas perubatan tradisional membuang ‘saka’.

Katanya, dia dan keluarganya itu iaitu isterinya yang berusia 30 tahun, bayi perempuan mereka berusia setahun tujuh bulan serta ibu mentua yang berusia lewat 60-an mengalami sakit misteri sejak Mac lalu.

“Isteri saya kerap pengsan dan kadangkala kerasukan, manakala bayi kami pula menangis tidak henti dari tengah malam sehingga Subuh hampir setiap hari. Ibu mentua dan saya pula sakit-sakit pada anggota badan tanpa sebab.

“Jadi pada hari kejadian, kami baru pulang berubat dengan seorang pengamal perubatan tradisional di Kuala Krai dan mandi dengan limau purut serta limau nipis tersebut sebelum memasukkan ke dalam plastik yang kemudian dibuang ke sungai deras seperti disuruh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, ketika kejadian itu, dia yang memandu kereta jenis Perodua Bezza berkenaan, manakala isteri yang meriba bayi bertindak membuang satu plastik barangan tersebut sementara satu plastik lagi dilempar oleh mentua yang kelihatan keluar separuh badan dari tingkap kereta sepertimana rakaman yang tular.

“Kami sekeluarga menerima begitu banyak kecaman hingga tertekan akibat hal ini.

“Kami mengakui kesilapan yang dilakukan dan memohon maaf kepada rakyat Tanah Merah, rakyat Kelantan serta seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!