Remaja maut terjatuh perahu ketika bantu mangsa banjir

Mohammad Hakimin (dalam bulatan) dikatakan seorang yang ringan tulang dah banyak membantu penduduk kampung ketika banjir. Gambar kecil: Mohammad Hakimin
Mohammad Hakimin (dalam bulatan) dikatakan seorang yang ringan tulang dah banyak membantu penduduk kampung ketika banjir. Gambar kecil: Mohammad Hakimin
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang remaja lelaki maut akibat lemas selepas terjatuh dari perahu ketika membantu memindahkan penduduk kampung di Kampung Manjor di sini pada malam Rabu.

Mayat Mohammad Hakimin Rahim, 20, ditemukan oleh ahli keluarganya di dasar sungai pada jam 8.30 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10 malam Rabu berhubung kejadian itu dan melancarkan gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi juga disertai pasukan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai yang mencari mangsa di lokasi kejadian serta sekitarnya.

"SAR bersambung pada pagi ini (Khamis) dan dimaklumkan mayat dijumpai oleh ahli keluarga di dasar sungai tempat dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mayat Mohammad Hakimin yang ditemukan di dasar sungai di Kuala Krai oleh ahli keluarganya pada jam 8.30 pagi Khamis.
Mayat Mohammad Hakimin yang ditemukan di dasar sungai di Kuala Krai oleh ahli keluarganya pada jam 8.30 pagi Khamis.

Beliau berkata, remaja berkenaan merupakan seorang yang ringan tulang dan banyak membantu penduduk kampungnya semasa berlaku banjir.

“Bagaimanapun, laporan mengatakan mangsa pengsan dan kejang kerana kesejukan serta kepenatan sebelum terjatuh tersebut hanya dapat disahkan oleh doktor.

Artikel Berkaitan:

“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua BBP Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, SAR pada malam Rabu berdepan kesukaran kerana keadaan gelap, selain hujan dan air naik di beberapa kawasan rendah.