PRU hanya wajar selepas Covid-19 reda: Bersatu

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu meninggalkan ibu pejabat Bersatu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malam tadi. - Foto Bernama
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu meninggalkan ibu pejabat Bersatu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan tindakan beberapa pihak yang melakukan percaturan politik ketika rakyat sedang melalui 'dugaan besar' tidak tepat pada masanya.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, parti itu komited untuk terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir ketika ini.

“Tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya,” katanya menerusi satu kenyataan selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di Ibu Pejabat Bersatu sini pada Rabu.

Mesyuarat itu diadakan susulan daripada perkembangan terkini politik negara apabila beberapa pemimpin UMNO mengusulkan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan mendesak supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan dengan segera.

Ekoran daripada itu, Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan semalam membuat keputusan untuk membawa usul tersebut dalam perhimpunan agung parti itu pada akhir bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul putus hubungan dengan UMNO-Bersatu dibawa ke PAU

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Bersatu berpendirian bahawa PRU hanya wajar dilaksanakan apabila perkembangan pandemik Covid-19 berada pada tahap yang lebih baik dan terkawal.

“Oleh yang demikian, agenda utama Bersatu ketika ini adalah untuk menumpukan segala usaha serta tenaga bagi menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

Ujarnya, sebagai parti yang mempelopori pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Bersatu beriltizam untuk terus mempertahankan kerjasama politik yang telah dipersetujui bersama parti-parti dalam kerajaan PN dengan berpaksikan kepada agenda penyatuan ummah dan perpaduan seluruh rakyat.

Malah ia akan diteruskan dengan adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang terdiri daripada semua lapisan agama, bangsa dan budaya.

“Bersatu juga menyeru supaya semua pihak menunjukkan keikhlasan dan menzahirkan kesungguhan melalui disiplin organisasi yang tinggi bagi memastikan kerjasama politik yang telah diwujudkan melalui PN dapat terus dihormati dan dipelihara,” katanya.

Dalam konteks PN, Wan Saiful berkata, parti itu juga akan terus memperkukuhkan kerjasama politik bersama dengan Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Bersatu memutuskan untuk memberi fokus terhadap pembinaan kekuatan parti melalui amalan politik khidmat dan politik prihatin, serta mengarahkan seluruh jentera untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” jelasnya.

Selain itu, Wan Saiful berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan siri Jelajah Bersatu 2021 dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berkenaan isu-isu semasa.