Annuar dedah pemimpin UMNO keluar surat sokongan kepada Anwar

Tan Sri Annuar Musa. - Foto Bernama
Tan Sri Annuar Musa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Surat dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO yang menyatakan sokongan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan tulen oleh bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Dedahnya, beliau telah mengambil tindakan untuk menyemak kesahihannya surat berkenaan yang dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bertarikh 11 Oktober 2020.

"Saya tahu semua sekali dan surat ini saya sudah semak dengan banyak pihak. Ia adalah tulen," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, antara isi kandungan surat berkenaan berkisar perkara untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Selain itu, ia turut menyebut untuk menukar Perdana Menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar," katanya.

Menurutnya, beliau mengambil langkah untuk tidak mendedahkan surat tersebut kerana tidak bersetuju dengan pendirian pemimpin berkenaan.

"Kita tidak bincang. Majlis Tertinggi pun tidak bincang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO bekerjasama dengan DAP untuk bentuk kerajaan baharu, kata Annuar

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkara itu boleh mendatangkan mudarat yang perlu dielakkan oleh BN.

"Kita perlu elak perkara ini atas dasar antara dua mudarat, yang mana mudarat lebih besar kita elakkan.

"Tapi oleh kerana ini adalah perkara yang paling utama perbezaan pendapat saya dengan pengerusi, saya terpaksa berterus terang. Kalau tidak ahli-ahli di bawah tidak faham," katanya lagi.

Sementara itu, ditanya mengenai siapa Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mengadakan perbincangan dengan DAP untuk mengadakan sokongan Anwar, beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak boleh spesifik, saya fikir rakan-rakan saya dalam MT boleh bincang perkara itu," kata.

Annuar menyifatkan tindakan sokongan Ahmad Zahid terhadap Anwar dan bekerjasama dengan DAP adalah perkara berat buat parti itu.

"Saya berpandangan sokongan bertulis kepada YDPA bahawa sebahagian daripada Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar adalah perkara berat," katanya.

Beliau berkata, pendirian yang diambil oleh Ahmad Zahid terlalu berprinsip dan melibatkan keputusan rasmi parti di peringkat Biro Politik, Jawatankuasa Pengurusan, Majlis Tertinggi malah Perhimpunan Agung UMNO.

"Bila sokongan itu diberikan tanpa pengetahuan parti walaupun dilakukan oleh seorang pengerusi pada saya ia perkara yang saya tidak dapat terima...apa lagi nak laksanakan perkara tersebut," katanya.