Pas tidak berkecil hati: Ahmad Yakob

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Pas tidak berkecil hati dengan hasrat segelintir akar umbi UMNO Kelantan yang mahukan kerjasama antara parti berkenaan dikaji semula.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob sebaliknya berkata, perkara berkaitan kerjasama tersebut diserahkan kepada pucuk kepimpinan parti untuk menentukannya.

“Mengenai hubungan Pas dan UMNO, kena rujuk kepada kepimpinan. Apa-apa arahan daripada pimpinan kita akan terima. Setakat ini kita teruskan kerjasama.

“Tidak ada kecil hati sebab kita sebenarnya bersyukur kerana selepas 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, kita dapat melihat kesan yang amat besar kepada orang Melayu dan juga kedudukan Islam.

“Dapat tukar (kerajaan) ini satu rahmat kepada kita. Kita sedang bina dan kena sedar bahawa itu matlamat kita. Bersyukur dapat bentuk kerajaan yang boleh membela semua. Itu yang penting,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu beliau juga Menteri Besar Kelantan menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2021 yang bertemakan 'Kebersamaan Demi Rakyat' dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis amanat khas tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdullah Ya’kob dan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Mengulas lanjut, Ahmad juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, setakat ini perjuangan menyatukan Islam menerusi kerjasama sedia ada terjalin akan diteruskan.

Artikel Berkaitan:

“Pas melaksanakan kerja-kerja untuk perpaduan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Usul tolak kerjasama Bersatu antara dicadang UMNO bahagian'

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menerusi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian turut menyentuh isu sama iaitu mana kerjasama perlu dikaji semula sekiranya Pas tidak mengutamakan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Sementera itu, mengulas mengenai isu sama, Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Pas sememangnya sentiasa berusaha untuk menyejukkan suasana di sebalik ketegangan politik yang berlaku.

“Pas akan cuba untuk menyatukan pimpinan Islam untuk lebih harmoni. Apabila timbulnya bisikan-bisikan dan desakan (dalam soal hubungan kerjasama), Pas tetap berusaha untuk menyatukan. Inilah kerja Pas untuk satukan,” katanya.