Tolak kerjasama dengan Bersatu bukan kejutan

Dr Muhammad Faiz Na'aman
Dr Muhammad Faiz Na'aman
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan perwakilan UMNO menolak untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah boleh dijangka.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, beliau bersama saf kepimpinan Bersatu tidak terkejut atau hairan dengan nada-nada negatif beberapa pihak daripada UMNO berhubung penolakan kerjasama berkenaan.

"Saya fikir rakyat mampu menilai sendiri sikap pemimpin UMNO tersebut yang banyak berdrama politik sejak tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Dari polemik akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri hinggalah kepada terbongkarnya rahsia sengaja tidak mahu mendaftarkan Muafakat Nasional (MN), rakyat boleh lihat kemunafikan UMNO yang membunuh diri mereka sendiri.

"Yang pasti kami dan juga rakan-rakan PN seperti Pas telah menghulur tangan perpaduan ummah yang akhirnya berjaya memendekkan kekuasaan DAP dan puak ultra liberal di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Muhammad Faiz berkata, usaha Bersatu dan Pas dilihat telah dibalas dengan angkuh, fitnah serta ugutan oleh parti yang telah pun tersungkur pada PRU14.

"Mujur masih wujud segelintir pemimpin UMNO yang rasional dan mementingkan penyatuan bangsa daripada asobiyyah kepartian seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Sabri yang semakin dihormati di mata masyarakat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MT akan putuskan usul tolak kerjasama dengan Bersatu

Artikel Berkaitan: