'Akar umbi UMNO tidak mahu dikhianati Bersatu'

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan lebih 140 bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas menggambarkan pendirian akar umbi parti terbesar Melayu itu.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, akar umbi UMNO dilihat tidak lagi mahu bekerjasama dan enggan dikhianati oleh parti yang dianggap sebagai pengkhianat.

Beliau mendakwa, Bersatu terdiri daripada tiga kumpulan pengkhianat termasuk bekas ahli UMNO yang melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada PRU14.

“Kerusi adalah kuasa dan kuasa itu perlu untuk menentukan dasar untuk rakyat. Kita tidak boleh biarkan kerusi dan kuasa diberi ke tangan pengkhianat.

“Sebab itu UMNO akan bertanding pada PRU15 di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi semasa PRU14 lalu dan juga di semua kerusi-kerusi Bersatu,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: MT akan putuskan usul tolak kerjasama dengan Bersatu

'Kalau nak pecat saya silakan...'

Cadang tarik diri sokong kerajaan jika PRU15 tidak dilaksana segera

Artikel Berkaitan:

Isham berkata, Ketua UMNO Bahagian Machang yang juga Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob pada Ahad juga mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sekiranya Parlimen tidak dibubar sehingga akhir Januari ini.

Justeru, katanya, beliau percaya lebih ramai pemimpin akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu sebelum PRU15.

“Tidak ada siapa yang akan undi pengkhianat kecuali pengkhianat sendiri. Pada PRU15 nanti, rakyat akan menggelar mereka sebagai 'pengkhianat nasional'.

“Jika kita beri laluan kepada mereka (Bersatu) pun, mereka akan kalah kerana ditolak oleh rakyat dan Pakatan Harapan (PH) pula yang akan menang.

“Kita tidak boleh benarkan perkara ini berlaku. Kita akan tolak PH dan juga pengkhianat-pengkhianat ini pada PRU15. Biar rakyat tentukan nasib mereka,” katanya.