X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga beranak dalang sindiket Macau Scam diburu

Tiga suspek utama Macau Scam sedang diburu pihak polis.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang memburu tiga beranak yang merupakan dalang sindiket penipuan Macau Scam membabitkan pembelian hartanah bernilai RM336 juta di Pulau Pinang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek utama ialah Teddy Teow Wooi Huat, 55, manakala dua lagi anak lelakinya Teow Ee Meng, 30, dan Teow Chee Chow, 32, iaitu pengendali dua syarikat yang membeli hartanah berkenaan.

Menurut beliau, Wooi Huat meletakkan dua anak lelakinya sebagai proksi di dua syarikat berkenaan iaitu Tuah Semenanjung Sdn Bhd dan MBI Properties Sdn Bhd.

"Berdasarkan laporan yang diterima daripada mangsa sindiket berkenaan di Pekan Nanas dan Nusa Bestari pada Ogos lalu, polis Johor telah melancarkan Ops Pelican 2.0.

"Hasil siasatan, polis telah berjaya menahan 12 suspek yang merupakan pengarah syarikat terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 29 hingga 68 tahun antara 3 Disember hingga 21 Disember lalu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Sehubungan itu, polis kini memburu tiga suspek utama tersebut iaitu bapa dan dua anaknya itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.

Ayob Khan berkata, Wooi Huat mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan kini dipercayai berada di Danok, Thailand, manakala dua anak lelakinya masih berada dalam negara.

Ayob Khan menunjukkan modus operandi yang dilakukan sindiket penipuan Macau Scam membabitkan pembelian hartanah dilakukan tiga beranak selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Ayob Khan menunjukkan modus operandi yang dilakukan sindiket penipuan Macau Scam membabitkan pembelian hartanah dilakukan tiga beranak selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Ahad.

Beliau berkata, difahamkan sindiket berkenaan menggunakan wang hasil penipuan untuk membeli 100 unit kediaman mewah bernilai RM336 juta selain disalurkan untuk jual beli mata wang kripto.

"Siasatan lanjut mendedahkan sejak Jun 2020, sindiket berkenaan telah menerima wang berjumlah RM25 juta menerusi akaun keldai daripada 91 akaun bank berbeza iaitu 18 akaun peribadi dan 73 akaun bank milik syarikat.

"Wang berkenaan dipercayai merupakan sebahagian daripada harga belian untuk pembelian 100 unit kondominium mewah dan unit komersil di Georgetown, Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu dengan mewujudkan beberapa lapisan akaun keldai untuk melakukan transaksi kewangan mereka.

Tambahnya, tujuannya untuk mengelirukan pihak berkuasa daripada mengesan aktiviti jenayah yang dijalankan mereka.

"Mereka didapati menggunakan kaedah pembelian hartanah dan mata wang kripto sebagai platform bagi pengubahan wang haram," katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!