Kegiatan curi benih kerang makin berleluasa

Kegiatan mencuri benih kerang semakin berleluasa di kawasan sekitar pesisir Pantai Sungai Leman, Sekinchan.
Kegiatan mencuri benih kerang semakin berleluasa di kawasan sekitar pesisir Pantai Sungai Leman, Sekinchan.
A
A
A

SEKINCHAN - Pengusaha kerang dan penduduk setempat mengeluh berikutan kegiatan mencuri benih kerang semakin berleluasa di kawasan sekitar pesisir Pantai Sungai Leman, Sekinchan.

Seorang pengusaha kerang yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli (bukan nama sebenar), 50, berkata, terdapat lebih 70 bot roto dikesan mengambil kerang secara haram di kawasan perairan itu dalam sesuatu masa.

Malah, katanya, lebih membimbangkan kegiatan mengambil benih kerang itu dilakukan dengan menggunakan bot roto yang boleh mengakibatkan kemusnahan sumber laut lain.

"Penggunaan bot roto membolehkan enjin bot melalui dasar tanah dan lumpur yang mengakibatkan kemusnahan habitat cengkerang lain seperti mentarang, kijing, lala, kupang dan siput," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, benih kerang yang dikutip itu dipercayai ingin diseludup ke negara Thailand kerana mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

"Saya difahamkan benih kerang ini akan diternak hingga mencapai saiz tertentu dan kemudian akan dijual ke Thailand," katanya.

Seorang lagi penternak kerang Rosman (bukan nama sebenar), 43, memberitahu, pihak berwajib seperti Jabatan Perikanan Selangor perlu mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan mencuri benih kerang.

Katanya, perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menjalankan kegiatan itu memberi kesan kepada pengutip kerang yang masih menggunakan kaedah tradisional.

Artikel Berkaitan:

"Kami merayu tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan dari masa ke masa bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa.

"Benih kerang di perairan Sabak Bernam merupakan lokasi sesuai bagi pembiakan kerang kerana permukaannya berlumpur.

"Malah, benih kerang di kawasan ini berkualiti secara semula jadi yang tentunya mendapat permintaan tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Selangor, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, pihaknya mengakui terdapat kewujudan aktiviti menangkap kerang di kawasan itu.

"Pihak kami akan menjalankan pemantauan berterusan bagi menangani kegiatan pengambilan anak kerang di kawasan terbabit," katanya.