SPRM digesa siasat kaitan bekas gabenor, Jho Low

Shahrul Nasrun (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu.
Shahrul Nasrun (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan keluarganya berhubung dakwaan pernah menerima dana daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Low atau dikenali sebagai Jho Low merupakan ahli perniagaan yang didakwa terlibat dengan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Datuk Kamarudin berkata, akaun syarikat Iron Rhapsody milik keluarga bekas gabenor didakwa mempunyai transaksi jutaan dolar daripada Jho Low.

"Terdapat wujudnya ‘money trail’ (jejak wang) yang mengesahkan suami dan dua anak lelaki bekas gabenor itu menerima wang berjumlah USD$16,219,409.23 melalui akaun mereka di Singapura," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Shahrul berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membuat laporan polis berkenaan perkara ini dengan harapan pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan terperinci dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada individu yang berkaitan.

Jelasnya, bekas gabenor itu juga perlu tampil menjelaskan isu tersebut bagi membersihkan nama beliau.

“Sebagai individu yang mengendalikan aset lebih dari RM300 bilion bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) ketika ini, beliau harus tampil untuk menafikan tuduhan ini sekiranya ia tidak benar.

“Pihak berkuasa wajib menyiasat perkara ini dan mengemukakan ke pengadilan supaya rakyat Malaysia tahu keadaan sebenar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, portal berita dalam talian melaporkan pendedahan mengenai penglibatan bekas gabenor dengan individu buruan polis berkenaan kes 1MDB, Jho Low.

Artikel tersebut turut mendedahkan penglibatan suami dan anak-anak bekas gabenor dalam menerima sejumlah transaksi wang daripada Jho Low.