Abdul Aziz dilantik pengerusi baharu MAIS

Penerima Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor MAIS Berdaftar Sesi 2021 - 2013 serta Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor bergambar selepas Istiadat Pengurniaan di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada Rabu. - Foto Bernama

A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Rabu berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu berkuat kuasa Jumaat ini.

Pelantikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah bagi menggantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang akan tamat tempoh perkhidmatan esok selepas mempengerusikan MAIS sejak 2018.

Pelantikan itu disempurnakan dalam satu istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS bagi sesi 2021-2023 dan Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini.

Pada istiadat sama, baginda turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan lima anggota MAIS yang baharu bagi sesi 2021-2023 iaitu Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir; bekas timbalan ketua Polis Negara Tan Sri Mazlan Mansor; Pengerusi Lembaga Permodalan Wakaf Nasional Berhad, Tan Sri Hashim Meon dan dua kerabat Diraja Selangor iaitu Tengku Seri Paduka Shah Bandar Tengku Datuk Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah, serta Datuk Kurnia Bakti Diraja Datuk Mohd Effendi Abdullah, yang juga Bendahari Kehormat Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR).

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menyampaikan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opis (dua dari kanan) dan Datuk Kurnia Bakti Diraja Datuk Mohd Effendi Abdullah (dua dari kiri) dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mazlan Mansor (kiri) pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS dan Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor MAIS Berdaftar Sesi 2021 - 2013 serta Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada Rabu. - Foto Bernama

Pelantikan baharu yang diketuai Abdul Aziz itu, menjadikan jumlah keseluruhan anggota MAIS bagi sesi 2021-2023 adalah 21 orang.

Sultan Sharafuddin juga berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 11 Ahli Pemegang Amanah LZS sesi 2021-2023, didahului Pengerusi Pemegang Amanah LZS Tan Sri Syed Anwar Syed Jamalullail, Timbalan Pengerusi Pemegang Amanah LZS Tan Sri Ambrin Buang dan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS.

Kesemua pelantikan tersebut berkuat kuasa Jumaat ini hingga 31 Disember 2023.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor baharu, Mohamad Khalid Share @ Shaii yang berkuat kuasa 16 Disember lalu.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - Bernama