X

Kindly register in order to view this article
!

Gempa bermagnitud 6.4 gegar Croatia

Gempa berkekuatan 6.4 pada skala Richter menggegarkan Petrinja, sebuah kota kecil kira-kira 50 kilometer sebelah tenggara Zagreb, ibu negara Croatia
A
A

ZAGREB - Gempa berkekuatan 6.4 pada skala Richter menggegarkan Petrinja, sebuah kota kecil kira-kira 50 kilometer sebelah tenggara Zagreb, ibu negara Croatia, pada jam 12.19 tengah hari waktu tempatan (1119 GMT) pada Selasa, kata Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC).

Agensi berita Xinhua melaporkan polis tempatan mengesahkan lima orang terbunuh dalam kejadian itu.

Sekurang-kurangnya 20 orang cedera dirawat di hospital dan pasukan penyelamat masih mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

"Bandar saya musnah teruk. Ada kanak-kanak turut menjadi korban. Keadaan itu sukar untuk digambarkan ia umpama Hiroshima," kata Datuk Bandar Petrinja Darinko Dumbovic kepada televisyen negara.

Perdana Menteri Andrej Plenkovic, Presiden Zoran Milanovic dan beberapa menteri turut melawat kawasan kejadian.

"Kami minta maaf. Ini adalah tragedi. Tentera, polis, anggota perubatan, perkhidmatan awam dan bomba sudah berada di lokasi," kata Plenkovic kepada wartawan di Petrinja.

Sebelum ini pada pagi Isnin, kawasan berhampiran dengan lokasi kejadian turut dilanda gempa bumi bermagnitud 5.2 pada skala Richter, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!