Jangan percaya maklumat ibadat haji 2021

Syed Saleh
Syed Saleh
A
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) pada Selasa menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat berkaitan pelaksanaan ibadat haji 2021M/1442H yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Eksekutif (Haji) TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH juga masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan urusan ibadat haji pada tahun depan dari pihak berkuasa Arab Saudi.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pengurusan kanan TH dijangka akan mengadakan mesyuarat Menteri Haji Arab Saudi dan Menteri Agama Arab Saudi pada awal tahun hadapan.

“TH akan mengumumkan keputusan perbincangan dan kesepakatan yang akan diambil oleh pemimpin kedua-dua negara berkaitan perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Saleh, mesej dipercayai tular selepas Muzakarah Haji yang telah diadakan secara dalam talian (Webinar) selama tiga hari bermula 21 Disember lalu.

Mesej yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp itu mengandungi butiran haji tahun hadapan termasuk jadual penerbangan, tarikh wukuf, kuota jemaah, kos haji yang didakwa meningkat, serta prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti kerana penularan Covid-19.

Orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan.

Artikel Berkaitan: